Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam menjelang pembentangan Belanjawan 2021 yang berbaki dua hari sahaja lagi.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, SSM perlu diperbaharui dan ditambahbaik kerana telah dilaksanakan selama 18 tahun.

“Dalam hal ini sepatutnya kerajaan mengadakan memperbaharui sistem saraan setiap lima tahun dan dalam tempoh itu beberapa perkara termasuk melibatkan gaji penjawat awam perlu dinilai semula.

“CUEPACS rasa perkara ini perlu dilaksanakan dengan segera oleh pihak kerajaan apatah lagi penetapan gaji minimum penjawat awam yang digunakan ketika ini adalah RM1,200 sebulan berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

CUEPACS selain itu katanya berharap agar kerajaan akan memperkasakan sektor perkhidmatan awam yang bersifat inklusif merangkumi pembangunan kerjaya, persekitatan, insentif kenaikan gaji dan kebajikan kakitangan awam.

“Ketika ini kita lihat sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah berada di tahap yang tertinggi, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan saja lagi. Tetapi setiap penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu selari dengan hal-hal kebajikan untuk penjawat awam.

“Jadi tiada salahnya jika penjawat awam yang selama ini menjadi nadi kepada pentadbiran negara diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021,” tambah beliau.

Kerajaan juga tambahnya, perlu fokus kepada peruntukan tertentu kakitangan awam yang terlibat dalam usaha menangani Covid-19.

CUEPACS berpendirian kerajaan tidak boleh berkira dengan rakyat dalam menyalurkan segala peruntukan di dalam belanjawan sebaliknya memberi keutamaan kepada pemulihn semula ekonomi negara seiring dengan membantu rakyat.

Semua rancangan perancangan dan usaha untuk memperkasakan sektor perkhidmatan kerajaan kata Adnan, perlu diteruskan berdasarkan Belanjawan 2021.

“CUEPACS tidak mahu perkara yang diumumkan terutama melibatkan kepentingan rakyat dan penjawat awam tidak dilaksanakan atau ditangguh. Apa yang telah diumumkan dalam belanjawan perlu dilaksanakan, tidak usah lagi dikaji semula atau dikitar semula dalam belanjawan pada tahun-tahun akan datang,”beliau berkata.

Adnan turut menyentuh isu kos sara hidup rakyat terutamanya yang tinggal di bandar.

Ujarnya, perkara asas dalam kehidupan perlu diberi perhatian seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan barangan makanan.

Projek rumah mampu milik katanya, perlu diperbanyakan dengan harga jualan RM100,000 hingga 250,000.

“Ia bukan soal rakyat perlu mengubah gaya hidup atau corak perbelanjaan mereka tetapi usaha kerajaan mengawal kenaikan harga barangan asas supaya tidak melonjak terlalu tinggi. Perbanyakan projek pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Jika ia ditetapkan lebih tinggi, rumah tersebut hanya akan dikategorikan sebagai mampu dilihat sahaja. Bangunkan tanah-tanah kosong yang dimiliki kerajaan, jika kerajaan tidak mampu adakan kerjasama dengan pihak swasta tetapi ia tidak boleh bersifat menjana keuntungan yang berlebihan,” beliau berkata.-MalaysiaGazette