KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) amat terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengenai isu pembuangan pekerja di syarikat Malindo Airways.

Ini kerana, beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sungguh mengelirukan.

Sekretariat NUFAM dalam kenyataanya berkata, perenggan ke-9 dan 10 menteri itu telah mendapat perhatian pihak ramai.

Perenggan 9 dalam kenyataan menteri itu menyebut, semua kakitangan syarikat tersebut yang menerima Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan.

Malindo Airways juga mengesahkan bahawa kesemua bayaran yang diterima, telah disalurkan kepada semua pekerja yang terlibat.

Manakala perenggan 10 pula menyatakan rekod Perkeso menunjukkan bahawa Malindo Airways telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000 bagi bulan Julai dan Ogos 2020 untuk 200 orang pekerja.

PSU adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban majikan dari segi kos operasi dan secara tidak langsung, mengelakkan pekerja daripada hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Kenyataan menteri ini memaklum pihak jabatan di Jabatan Perhubungan Perusaan (JPP) Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) telah mengadakan penemuan dengan pihak pengurusan Malindo Airways untuk mendapat penjelasan mengenai isu dan aduan yang dibuat oleh pekerja dan beberapa pihak.

Menteri juga menjawab beberapa soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen mengenai masalah bayaran PSU dan ERP.

Persoalannya, adakah wajar kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang menteri bagi pihak pengurusan syarikat.

”Mengapa pula menteri seolah-olah membuat kenyataan tersebut menyentuh isu kontrak pekerja dan menyatakan pekerja yang dicutikan selama setahun, kontrak perkhidmatan mereka boleh dianggap “terputus” bersama syarikat.

“Soalannya juga, adakah surat atau notis menyatakan kontrak pekerja sudah terputus telah dikeluarkan oleh pihak majikan kepada pekerja-pekerja ini?,” soal NUFAM.

Pertanyaan dibuat kerana NUFAM dimaklumkan oleh ramai antara pekerja yang telah dicutikan sejak awal bulan Ogos 2019 masih tidak dimaklum mengenai “terputusnya” kontrak mereka bersama syarikat Malindo Airways.

Mengapa pula menteri seolah-olah membuat kenyataan tersebut menyentuh isu kontrak pekerja dan menyatakan pekerja yang dicutikan selama setahun, kontrak perkhidmatan mereka boleh dianggap “terputus” bersama syarikat, ujarnya.

NUFAM berkata, sebagai menteri. Saravanan seharusnya bersikap “impartial” atau tidak berat sebelah.

”Dengan adanya kenyataan ini, ia juga seolah-olah menampakan seorang menteri mencampuri urusan dalam hal pembuangan pekerja secara ‘menghalalkan’ segala tingkah laku yang dibuat oleh syarikat.

”Ini juga telah menyebabkan banyak kekeliruan dan lebih mengeruhkan lagi keadaan,” kata NUFAM sambil memberitahu ramai pekerja yang telah dihentikan meluahkan rasa marah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenyataan Menteri Sumber Manusia itu. – MalaysiaGazette