Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax ketika ini adalah AS$21 (RM87.60) bagi setiap satu vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan perkara itu memberitahu, rundingan dengan Covax mengenai proses perolehan vaksin kini berada di peringkat terakhir.

“Kita harap dapat tandatangani Covax dalam waktu terdekat. Cuma ingin dijelaskan Covax hanya sebahagian daripada keperluan kita dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

“Sebahagian besar daripada perolehan ini akan dicapai menerusi rundingan dua hala dengan negara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) mengenai langkah kerajaan bagi menjamin bekalan vaksin Covid-19 kepada masyarakat bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Khairy berkata, perbincangan yang membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara itu turut sedang meneliti beberapa klausa perjanjian dalam Covax.

Menjawab soalan asal Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung kaedah bekalan vaksin secara saksama, Khairy berkata, ‘penawar’ Covid-19 itu dijangka diperoleh pada suku pertama tahun depan dengan keutamaan diberi untuk tiga peratus populasi negara.

“Kelompok pertama ini terdiri daripada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

“Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi serta diangkat sebagai keutamaan sejajar Covid-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette