Presiden Parti Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Menjelang dua hari sahaja lagi pembentangan Belanjawan 2021, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yakin semua Ahli Parlimen akan memberikan sokongan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, semua ahli Dewan Rakyat perlu bersatu dengan satu objektif iaitu memastikan kesejahteraan rakyat akan dapat terbela menerusi belanjawan.

“Ahli-ahli Parlimen perlu bersatu hati satu, objektif sekarang adalah lawan Covid kita berharap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan boleh diterima dan diluluskan.

“Kita dapati ramai ahli politik mereka tidak sokong kerana mereka pembangkang. Ini tidak betul, semua kena fokus untuk sokong bajet (belanjawan) dan benarkan ia diluluskan untuk tolong rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, apa juga perbelanjaan untuk kebaikan negara khususnya ketika berhadapan dengan Covid-19 perlu mendapat sokongan.

“Tidak ada yang mahu binasakan negarakan, apa yang dibentang, memberi kebaikan kepada rakyat kita patut sokong jangan nak bantah kerana nak bantah sahaja,” tambahnya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November ini.

Ia dijangka tertumpu kepada usaha negara menangani Covid-19 dan membantu negara.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua Ahli Parlimen memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 demi kebaikan rakyat.-MalaysiaGazette