Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) digesa memulangkan yuran pengajian dan perkhidmatan sehingga 30 peratus kepada para pelajarnya yang terlibat dengan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara dalam talian bagi Semester 1 Sesi 2020/2021.

Suara Mahasiswa UTHM dalam kenyataan bersama hari ini berkata, pemulangan atau pengurangan yuran itu perlu dibuat kerana fasiliti dan perkhidmatan universiti tidak dimanfaatkan secara maksimum.

“Ini kerana semua mahasiswa telah diarahkan kekal berada di kediaman, kampung, daerah atau negeri masing-masing (kecuali pelajar berkeperluan) berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Fasiliti dan perkhidmatan universiti telah dibayar melalui yuran. Mahasiswa pula menggunakan fasiliti sendiri untuk urusan PdP yang dijalankan secara atas talian.

“Mereka perlu membeli data internet, ia memerlukan kos yang sememangnya tinggi. Adalah sangat tidak relevan untuk membayar yuran secara penuh tetapi tidak mendapat apa-apa imbalan daripada pembayaran tersebut,” kata persatuan mahasiswa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Suara Mahasiswa UTHM, sehingga kini setelah hampir empat minggu pengajian berlangsung, pihaknya masih belum mendapat sebarang pemberitahuan kukuh berkenaan proses PdP yang dijalankan bagi semester ini.

“Bagi pelajar tahun 1, 2 dan 3 yang akan menggunakan makmal (kecuali pelajar berkeperluan) juga perlu membayar yuran penuh sedangkan pembelajaran dijalankan secara atas talian,” katanya.

Selain itu, langkah pemulangan atau pengurangan yuran itu bagi meringankan beban keluarga para pelajar yang terjejas dengan pandemik Covid-19 terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

“Di waktu penularan wabak ini, banyak sektor terjejas khususnya sektor ekonomi. Berlaku juga penurunan kadar gaji para pekerja dan pemberhentian pekerja di beberapa buah syarikat, khususnya syarikat bukan milik kerajaan.

“Kemungkinan besar golongan yang turut menerima tempias daripada kesan tersebut adalah ibu bapa kepada mahasiswa UTHM.

“Ini belum lagi ditambah dengan permasalahan keluarga mahasiswa yang hidup dalam kesusahan. Hal ini sememangnya akan memberi beban kepada kehidupan keluarga yang terjejas ekonominya,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette