KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutuk sekeras-kerasnya serangan bersenjata di bandar raya Vienna, Austria, Isnin lalu yang mengakibatkan orang awam tidak bersalah terkorban dan cedera.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan mendoakan agar mereka yang tercedera dalam insiden keganasan itu kembali pulih dengan segera.
“Saya sangat mengutuk serangan keganasan di Vienna, Austria dan Kabul, Afghanistan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan mencederakan banyak orang.
“Doa saya bersama orang-orang yang disayangi mereka yang terkorban dan saya ingin pemulihan cepat kepada mereka yang tercedera,” ciapnya dalam Twitter miliknya, hari ini.
Semalam, Kerajaan Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan bersenjata di Vienna, Austria yang mengorban dan mencederakan orang awam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan itu dan mendoakan mereka yang cedera segera sembuh.
Sebelum ini, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Austria, Harald Soros dilaporkan berkata serangan itu berlaku di beberapa lokasi di pusat bandar raya tersebut, termasuk berhampiran sebuah rumah ibadat Yahudi.
Sementara itu, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia di negara itu yang memerlukan bantuan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Vienna di talian 00-43-1-505 1042 atau menghantar e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette
















