Prof Dr Abd Ghafar Ismail.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok perlu memberi fokus untuk meningkatkan peruntukan dalam sistem keselamatan sosial terutamanya faedah atau bantuan seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan bantuan makanan bagi mengurangkan tekanan dan bebanan akibat penularan Covid-19.

Profesor Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Abd Ghafar Ismail berkata, dalam usaha mengatasi buruh di sektor pertanian, kerajaan wajar merekrut buruh tempatan gara-gara pengeluaran yang terjejas ketika ini akibat kekurangan sumber tenaga manusia.

Jelas beliau, defisit negara juga harus dikurangkan namun kerana kerajaan dijangka menghadapi kekurangan hasil, maka sumber hasil baharu perlu dicari.

“Apakah kerajaan sanggup memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)?

“Di samping itu kerajaan boleh menampung kekurangan bajet dengan pengenalan dana dari dalam khususnya melalui penerbitan instrumen kewangan Islam yang baharu.

“Kerajaan juga boleh memperkenalkan dana khas untuk memperkasakan kumpulan yang terjejas untuk mereka melaksanakan aktiviti keusahawanan merentas pelbagai sektor,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Abd. Ghafar yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat itu menambah, kerajaan perlu menggabungkan Teenage Revolution (TR1.0) dan Revolusi Teknologi 4.0 supaya golongan muda diperkasakan sebagai penggerak ekonomi negara.

Selain itu beliau turut berharap agar penyelarasan dan memperkasakan Fiskal Persekutuan iaitu polisi fiskal yang merentas bajet negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam.

“Ia bagi membolehkan khususnya kumpulan terjejas dapat disantuni melalui hasil agama Islam seperti zakat, wakaf dan sadaqah serta penyediaan kemudahan logistik oleh kerajaan negeri dan PBT di mana Majlis Kewangan Negara harus mengambil langkah segera terhadap perkara ini,” katanya. -MalaysiaGazette