KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kematian seorang remaja perempuan, Siti Nur Surya dalam keadaan menyayat hati apabila terdapat kesan tetak di badannya selain putus tangan kiri.

Pendakwah bebas Ebit Lew bingkas menziarah keluarga Surya di Lubuk Batu, Terlemong, Terengganu.

Ebit berkata ayah Allahyarham iaitu Ismail Muda, 58 sangat terkesan dengan pemergian anaknya yang digambarkan telah berkorban demi menjaga ibu yang terlantar sakit akibat kanser otak tahap tiga.

“Sayu pilu sangat rasa hati perginya adik Siti Nur Surya. Sampai jer rumah mereka. Ayahnya terus datang peluk saya menangis. Terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tak tahan rasa sedih. Ya Allah.

“Saya tak dapat lupa ustaz. Air mata asyik mengalir jer cerita tentang arwah. Arwah anak baik. Beliau selepas SPM sentiasa jaga maknya yang sakit kanser. Boleh urus seorang diri dibantu adik perempuannya Tingkatan 3. Sanggup korban belajar sebab nak jaga mak dekat rumah. Mandikan dan uruskan maknya sentiasa,”katanya menerusi Facebook.

Ebit berkata beliau yang juga rasa pilu dan sedih dengan pemergian Surya sempat berkongsikan kisah nabi sebagai pedoman memberikan semangat kepada keluarga berkenaan.

“Maknya kenal saya. Katanya selalu tengok saya walau dalam keadaan tak sihat. Beratnya ujian mereka. Tadi berkongsi kisah Nabi Yakob kehilangan Nabi Yusuf . Kisah ujian Nabi saw yang kita cintai,” katanya lagi.

Pada Ahad yang lalu, Surya, 19 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya.

Mayat mangsa ditemukan adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.

Suspek dipercayai rakan remaja berkenaan kini ditahan reman tujuh hari.-MalaysiaGazette