Seorang pelawat melihat beberapa orang pekerja Western Digital memproses cakera keras semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Western Digital (WD), Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Keupayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan kestabilan negara ketika dunia masih berdepan pandemik COVID-19 terbukti apabila terdapat syarikat yang berminat menambah pelaburan di negara ini.

Western Digital Sdn Bhd, syarikat pengeluar peralatan storan digital terkemuka memutuskan untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran syarikat itu di Malaysia.

“Perkara itu dipersetujui semasa pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi Kumpulan Operasi Western Digital Malaysia, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid, hari ini.

“Ini menjadikan nilai keseluruhan pelaburan Western Digital di Malaysia berjumlah hampir RM18 bilion,” demikian menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaburan baharu itu akan diperuntukkan untuk memperluaskan fasiliti dan kapasiti kilang di Western Digital Media Pulau Pinang dan Western Digital Sarawak.

Perdana Menteri yang berbesar hati dengan pelaburan tersebut mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk melabur dalam industri berimpak tinggi dan berteraskan teknologi di negara ini.

“Pelaburan tambahan oleh Western Digital membuktikan keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan kestabilan negara ketika dunia masih berdepan pandemik COVID-19.

“Kerajaan melalui Kementarian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi berkaitan yang lain sentiasa komited dalam menarik pelaburan dan meyakinkan pelabur untuk melabur atau membuat pelaburan tambahan di Malaysia,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, nilai eksport syarikat itu dari Malaysia adalah berjumlah RM18 bilion pada 2019.

“Pelaburan tambahan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada negara selain membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 penduduk tempatan,” katanya.

Komitmen Kumpulan Western Digital ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur dari luar negara terhadap kerajaan untuk terus mengembangkan pelaburan dan operasi mereka di Malaysia.- BERNAMA