khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) megenakan sekatan ke atas produk sawit keluaran FGV Holdings Berhad (FGV) sejak 1 Oktober lalu tidak memberi kesan signifikan pada eksport minyak sawit Malaysia secara keseluruhan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, menjelaskan, ia berikutan FGV hanya mengeksport 40 tan minyak sawit ke AS, iaitu 0.0013 peratus daripada tiga juta tan keseluruhan jumlah eksport FGV.

Jalaluiddn mengemukakan soalan sejauh mana tindakan AS memboikot produk sawit keluaran FGV memberi kesan pada import produk sawit Malaysia bagi tahun ini.

Mengenai isu berkait buruh asing yang dibangkitkan AS, Mohd Khairuddin berkata, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) telah mengeluarkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap produk sawit keluaran FGV berdasarkan petisyen dikemukakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Bagaimanapun, jelas beliau, kesahihan dakwaan itu masih belum dapat disahkan namun menegaskan, kementeriannya memberi perhatian serius berhubung isu berkenaan.

Beliau turut mengalu-alukan langkah dibuat FGV untuk menyelesaikan isu itu dengan CBP antaranya menerusi sidang maya dengan pihak berkuasa AS bulan lalu.

Katanya, CBP dilihat positif dalam menyelesaikan isu ini dan kementerian akan mempertimbang untuk mengemukakan petisyen membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan, yang perlu disertakan dengan laporan audit firma pengauditan pihak ketiga yang boleh dipercayai dan adil.

“FGV akan melantik juruaudit bebas dalam masa terdekat. Pada masa sama, pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di AS turut berhubung dengan pihak berkuasa di sana untuk menyusuli perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui tindakan majikan menyimpan pasport pekerja asing yang dibuat atas dasar keselamatan selepas mendapat persetujuan pekerja, adalah antara isu dibangkitkan AS kerana ia antara elemen buruh paksa seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Menurutnya, jalan penyelesaian dicari bagi memastikan majikan tidak menyimpan pasport pekerja, antaranya menyediakan tempat khas penyimpanan pasport dan pekerja berhak untuk mengambil pasport tersebut pada bila-bila masa.

“Isu teknikal seperti tindakan majikan menyimpan pasport dan pekerja membawa bersama anak ke ladang kerana tiada penjaga di rumah, perlu diperjelaskan kepada pihak syarikat, yang ia adalah termasuk dalam elemen buruh paksa yang mungkin tidak disedari pihak syarikat sendiri.

“Kementerian melalui MPOB akan terus giat mengadakan program advokasi kepada pihak industri untuk menjelaskan perkara sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette