Wednesday, August 19, 2026
Home Nasional Belanjawan 2021: 150,000 murid dapat komputer riba

Belanjawan 2021: 150,000 murid dapat komputer riba

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi merealisasikan bantuan berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang akan disalurkan ke Tabung Cerdik.

Beliau berkata, pemberian komputeri riba kepada 150,000 murid itu adalah seiring dengan norma baharu di mana pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu amalan.

Tengku Zafrul juga berkata, bagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.

Kerajaan juga, kata beliau, memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast