Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Langkah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan 80 ahli Parlimen memasuki dewan pada satu-satu masa bermula hari ini tidak menjejaskan demokrasi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ahli-ahli Parlimen masih boleh mengambil bahagian dalam setiap sesi sidang Parlimen khususnya pengundian mana-masa usul kerajaan.

“Demokrasi mana yang terjejas..bergilir gilir masuk dewan supaya tidak sesak. Nak bercakap, nak undi boleh masuk..waktu di luar.

“(Mereka) boleh ikuti sidang (Parlimen) melalui litar tertutup..rasa nak masuk boleh masuk asal sentiasa ada di (sekitar) bangunan Parlimen.

“Mereka tak faham..80 orang dalam Dewan Rakyat itu bermaksud dalam chamber...yang lain duduk bilik lain tapi boleh ikuti sidang..gilir la masuk chamber..nak bahas dan nak undi boleh masuk,” ciapnya di Twitter miliknya, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan peguam Andrew Khoo kononnya tindakan mengehadkan 80 ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa mulai minggu depan adalah ancaman kepada demokrasi.

Ini kerana tindakan itu akan menghalang ahli Parlimen lain untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.

Semalam, Azhar Azizan hanya membenarkan 80 ahli Parlimen memasuki dewan pada satu-satu masa bermula hari ini dengan waktu persidangan dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang membacakan peraturan baru itu berkata, 41 daripada 80 kerusi akan diwakili oleh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan 39 kerusi oleh pembangkang dan bebas.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menyekat penyebaran Covid-19 di Parlimen.

Keputusan baru itu juga akan menyaksikan waktu bersidang Dewan Rakyat dipendekkan dari 89 jam 30 minit kepada 66 jam dan memendekkan perbahasan Belanjawan 2021. – MalaysiaGazette