Surina Shukri

KUALA LUMPUR – Dua kempen e-dagang di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjaya meraih jualan sebanyak RM1.2 bilion.

Bagi memacu pemulihan ekonomi jangka pendek, kempen e-dagang untuk perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) dan Shop Malaysia Online, masing-masing dilancarkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada Jun dan Ogos, dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM140 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, kedua-dua inisiatif itu membuktikan perniagaan dan pengguna di Malaysia sudah bersedia untuk memasuki era digital dan terus maju ke hadapan untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Hari ini, kita telah mencapai kejayaan baharu dalam meningkatkan jualan e-dagang di bawah PENJANA dengan jumlah jualan sebanyak RM1.2 bilion dalam masa empat bulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kempen itu bertujuan menggalakkan penerimaan e-dagang dalam kalangan perniagaan tempatan bagi membantu mereka meluaskan capaian pasaran dalam platform digital dan dilaksanakan menggunakan perkongsian awam-swasta yang dibiayai bersama dengan 22 rakan e-dagang yang menyertainya.

Sehingga kini, rakan e-dagang yang menyertai telah mencatatkan lebih 45,000 PKSM baharu yang mendaftar dengan pelbagai platform e-dagang dan sebanyak 115,000 PKSM telah mendapat manfaat daripada kempen itu, dengan jumlah jualan e-dagang yang dicapai daripada kempen tersebut mencecah lebih RM332 juta.

Kempen Shop Malaysia Online berjaya mencapai kejayaan apabila menjana jualan e-dagang melebihi RM896 juta dan memberi manfaat kepada lebih 7.8 juta pengguna dan lebih 210,000 peniaga Malaysia di seluruh negara.

MDEC yakin kesan limpahan daripada peningkatan bilangan perniagaan yang menggunakan kelebihan digital akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami akan terus mempercepatkan transformasi digital dan menggalakkan penerimaan e-dagang dalam kalangan PKSM tempatan melalui program eUsahawan dan Go-eCommerce, yang dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan rakyat Malaysia dan penggunaan teknologi digital oleh perniagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette