Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

KUALA LUMPUR – Pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun bagi simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dilanjutkan sehingga taksiran cukai tahun 2022 bakal memberi manfaat kepada semua pendeposit.

Justeru Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melaksanakan pelepasan cukai yang merupakan cadangan perbadanan itu.

“Insentif yang diumumkan ini adalah cadangan daripada PTPTN untuk memberi galakan kepada ibu bapa agar terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka,” menurut perbadanan itu.

Sehubungan itu PTPTN menyeru agar rakyat Malaysia terus menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras dengan usaha kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan 2021 ini.

“Sesungguhnya, rakyat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan rakyat terutamanya dari aspek kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun bagi simpanan bersih dalam SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. -MalaysiaGazette