Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran mengecil kepada RM17.1 bilion atau 2.6% daripada pendapatan negara kasar (PNK) pada separuh pertama tahun 2020.

Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan lebihan akaun barangan serta defisit akaun pendapatan yang lebih rendah.

Pada separuh kedua 2020, lebihan akaun semasa diunjur meningkat kepada RM31.4 bilion atau 4.1% daripada PNK berikutan peningkatan dalam lebihan akaun barangan serta defisit lebih rendah dalam akaun pendapatan.

Secara keseluruhan, lebihan akaun semasa pada 2020 dijangka mengecil kepada RM48.5 bilion atau 3.4% daripada PNK, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021.

Pengurangan ini disebabkan peningkatan defisit dalam akaun perkhidmatan meskipun lebihan dalam akaun barangan meningkat dan defisit akaun pendapatan rendah.

Dalam pada itu, Indeks Harga Pengeluar (IHP) menyusut sebanyak 1% pada lapan bulan pertama 2020 dan trend ini dijangka berterusan sepanjang tahun.

Penguncupan ini disebabkan penurunan harga minyak mentah global dan diskaun bil elektrik sebagai sebahagian langkah rangsangan ekonomi.

Bagaimanapun, indeks teras meningkat sebanyak 1.2%, mencerminkan permintaan domestik kekal kukuh selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat.

Inflasi dijangka kembali kepada paras normal 2.5% pada 2021 selari dengan prospek ekonomi lebih baik dan harga minyak lebih tinggi. – MalaysiaGazette