Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kaedah penentuan zon jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan bilangan kes harian dan jumlah kes kumulatif untuk tempoh 14 hari menjadi asas kepada District Risk Reduction Program (DRRP) atau Program Pengurangan Risiko Daerah.

Ia membantu tindakan yang perlu diambil oleh komuniti
dan dipandu oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah penentuan zon jangkitan Covid-19 bukan hanya bergantung kepada DRRP, sebaliknya ia mengambilkira risiko jangkitan dan penularan Covid-19 dalam sesuatu kawasan.

Kata beliau, terdapat tujuh kriteria lain yang turut diambil kira dalam penilaian dan penentuan risiko Covid-19.

Katanya, yang pertama kadar peningkatan kes sama ada meningkat secara mendadak dalam tempoh masa yang singkat atau secara perlahan yang mana peningkatan kes yang mendadak menggambarkan kadar penularan jangkitan yang tinggi.

“Kriteria kedua adalah taburan kes positif dikenal pasti secara geomapping untuk menentukan sama ada kes-kes bertumpu atau bertaburan dan ketiga adalah peratusan bilangan kes tidak bergejala.

“Peratusan bilangan kes yang tinggi berkemungkinan menyebabkan penularan jangkitan yang tidak disedari oleh kes-kes terbabit; kriteria keempat adalah kepadatan penduduk di kawasan terlibat serta jenis tempat tinggal seperti rumah kongsi berisiko untuk meningkatkan penularan jangkitan;

“Kriteria kelima yang diambil kira adalah latar belakang sosiodemografi setempat iaitu faktor-faktor seperti penduduk bukan warganegara di sesuatu lokaliti, mobilisasi penduduk merentas mukim, daerah atau negeri kerana keperluan bekerja atau bersekolah, kewujudan lorong-lorong tikus bagi kemasukan bukan warganegara dan sebagainya berisiko untuk meningkatkan penularan jangkitan,” katanya menerusi kenyataanmedia hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kewujudan infrastruktur gunasama di lokaliti seperti pasar, pasar raya, sekolah dan rumah ibadat yang menjadi tempat perkumpulan ramai merupakan kriteria yang turut dilibatkan dalam menentukan zon jangkitn.

Justeru katanya, sejarah perhimpunan beramai-ramai di sesuatu lokaliti dalam tempoh kebolehjangkitan semasa kes mula dikesan juga faktor yang dititikberatkan pasukan kesihatan.

Selain itu, ujar beliau, impak tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam yang telah dijalankan di kawasan setempat juga diambil kira dalam penentuan zon jangkitan oleh KKM.

“Misalnya bilangan kontak rapat yang dikaitkan dengan kes yang telah dikenal pasti;bilangan yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk yang dihantar ke stesen kuarantin; dan bilangan penduduk yang terlibat.

“Namun begitu, bagi memudahkan pemahaman oleh masyarakat dan orang umum, pendekatan warna zon seperti yang digunakan untuk DRRP adalah digunakan iaitu zon hijau, zon kuning, zon jingga dan zon merah,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast