Donald Trump dan Joe Biden. foto Agensi

WASHINGTON – Donald Trump menjangkakan banyak tuntutan-tuntutan akan dilakukan pada Pilihan Raya 2020.

Tuntutan itu akan berakhir di Mahkamah Agung, katanya semasa taklimat di White House.

Ia susulan tindakannya menimbulkan keraguan terhadap undi pos dan proses pengundian yang masih berjalan di beberapa negeri.

Organisasi-organisasi media di Amerika Syarikat (AS) masih belum mengisytiharkan pemenang dalam Pilihan Raya Presiden ketika persaingan sengit termasuk di Pennsylvania, Georgia dan Arizona dengan undi tipis.

Bercakap dari Wilmington, Delaware pada hari Khamis petang, Biden mengatakan beliau terus “selesa dengan keadaan sekarang”.

Baik Trump mahupun Biden, masing-masing yakin akan memperoleh kemenangan dalam pilihan raya ini.

Pengiraan undi masih berlangsung di negeri-negeri penting yang akan menentukan keputusan pilihan raya.

Jangkaan kemenangan di Rust Belt di Michigan dan Wisconsin – bermakna Biden semakin hampir dengan kemenangan.

Disebabkan itu, Trump telah mencabar keputusan jumlah undi di negeri-negeri utama.

Beliau telah membuat pernyataan tidak berasas mengenai kemenangan dan tuduhan penipuan pengundi, dengan menuduh Demokrat berusaha “mencuri” pilihan raya.

Dengan kedudukan sekarang, Biden yakin akan mengalahkan pesaingnya, Trump.

Calon Demokrat ini sedang mendahului di Nevada dan Arizona, sementara jurang semakin dekat antara beliau dan Trump ketika proses pengundian dijalankan di Georgia dan Pennsylvania.

Keseluruhan jumlah pemilih dalam pemilihan Selasa dijangka tertinggi dalam tempoh 120 tahun pada 66.9%, menurut US Election Project.

Biden mendapat sokongan 70.5 juta pengundi, yang paling banyak dimenangi oleh mana-mana calon presiden sebelum ini.

Trump memperoleh 67.2 juta undi, empat juta lebih banyak daripada yang diperolehnya pada 2016.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.