Premis kedai menjual persiapan perayaan Deepavali lengang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Little India, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2020.

PULAU PINANG – Bajet 2021 menumpu kepada usaha merangsang ekonomi negara pada tahun depan selain menjaga kepentingan golongan berpendapatan sederhana dan rendah, kata pakar kewangan, L. L. Kong.

Walaupun melihat belanjawan itu sangat baik selepas mengambil kira kekangan kewangan semasa kerajaan, tetapi Kong berpendapat kerajaan harus memberi lebih banyak bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME), termasuk menyediakan pinjaman rendah faedah.

Beliau memberitahu Kwong Wah Yit Poh, bantuan berkenaan adalah padan dengan Bajet 2021 yang menggalakkan lebih banyak pelabur asing.

Mengulas lanjut, Kong berkata, kerajaan tidak menambahkan jenis cukai baharu, sebaliknya mengumumkan lebih banyak pengecualian cukai, selain menyediakan banyak bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Dalam keadaan perbendaharaan negara yang mengecut pada ketika ini, Bajet 2021 merupakan satu belanjawan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap menyeru perusahaan memanfaatkan pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan untuk melakukan transformasi perniagaan.

“SME harus meneliti bajet ini dan jangan terlepas peluang memohon program dan insentif yang ada,” katanya dipetik Nanyang Siang Pau.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim meminta kerajaan mengumumkan perbelanjaan membaik pulih dan memulihara untuk sekolah pelbagai aliran.

Katanya, walaupun belanjawan gabungan  untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi 2021 telah meningkat berbanding Bajet 2020, tetapi tidak pasti agihannya mengikut aliran sekolah.

“Tidak boleh terlalu bergembira dahulu kerana tidak pasti peruntukan untuk sekolah persendirian Cina dan sekolah pelbagai aliran.

“Kami berharap kerajaan akan membuat pengumuman secepat mungkin,” katanya kepada Sinchew Daily. – MalaysiaGazette