Joe Biden ketika bercakap mengenai keputusan pilihan raya di Wilmington, Delaware, Amerika Syarikat. foto Reuters

WASHINGTON – Joe Biden sekali lagi menyatakan beliau yakin akan memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus menewaskan Donald Trump.

Pencabar dari Demokrat itu kini mempunyai 253 daripada 270 undi yang diperlukan untuk menduduki White House.

Biden kini menerajui jumlah undi di Georgia, Nevada, Pennsylvania dan Arizona.

Kemenangan Biden itu nanti akan menyaksikan Trump perlu meninggalkan White House pada Januari 2021 setelah empat tahun menerajui AS.

”Kami akan memenangi persaingan ini,” kata Biden kepada penyokong di Wilmington, Delaware dengan nada yang semakin yakin ketika pungutan undi yang memihak kepadanya.

Biden menambah, beliau kini berada di landasan untuk memenangi lebih dari 300 undi, sekali gus menunjukkan 74 juta rakyat AS memilihnya.

Demokrat – menampilkan Biden sebagai calon dalam kempen yang sengit – mengatakan sudah waktunya untuk “menghapuskan kebencian daripada politik kita” dan “bersikap menerima antara satu sama lain”.

”Kami mungkin lawan tetapi kami bukan musuh, kita orang Amerika,” kata Biden yang tidak menyebut lawannya, Trump yang mewakili Republikan. – MalaysiaGazette