Sophia Liana melancarkan video muzik rasmi Dulu.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap wanita, Sophia Liana kembali meraih perhatian apabila muncul dengan single terbaharunya bertajuk dulu pada 9 Oktober lalu.

Lagu yang diciptanya bersama Fadzril Asyraf itu sudah mula mendapat reaksi positif pendengar yang menyifatkannya antara karya terbaik tempatan yang dikeluarkan pada tahun 2020.

Lagu yang digarap dengan susunan muzik indah ini, menyerlahkan lagi  kemerduan vokal penyanyi rap wanita yang mesra disapa sebagai Sophia ini. Melodi mesra telinga yang dihiasi dengan bait-bait kata yang mudah difahami namun sarat dengan mesej tersirat, dulu berjaya memberi kesan emosi kepada pendengar.

Bagi meneruskan lagi momentum lagu ini, Sophia telah melancarkan video muzik rasmi tersebut.

Bercerita tentang konsep yang diterapkan dalam video muzik berkenaan, pengarahnya,  Shimy Latif berkata, secara ringkasnya konsep video muzik ini adalah idea Sophia yang mahu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kini.

Mengambil inti pati utama lirik lagu itu jelasnya, dalam video muzik ini, Sophia digambarkan sebagai wanita yang merenung kembali masa lalunya dalam perspektif yang lebih positif.

Muzik video dulu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kini Sophia Liana.

“Baginya pengalaman suka dukanya yang dahulu telah menjadikan dirinya yang sekarang lebih matang, kuat dan berkeyakinan.”

“Bila saya mula-mula dengar lagu dulu, saya membayangkan suasana yang tenang dengan pemandangan indah serta visual sedap mata memandang. Mempunyai pengalaman bekerja dengan Sophia dalam video muzik Ngam sebelum ini, saya tahu Sophia berkebolehan untuk berinteraksi dengan kamera menerusi ekspresi wajah dan tubuhnya.

“Jadi setelah berbincang dengan Sophia dan Farhan Syaza sebagai Pengarah Fotografi, kami memutuskan untuk memfokuskan kepada Sophia sebagai subjek utama. Tanpa efek visual yang melampau, kami berharap video muzik ini mampu menjadi muzik malar segar untuk tontonan di masa hadapan kerana tema yang diangkat dalam lagu ini kekal relevan  sepanjang zaman,” jelas Shimy lagi.

Sebagai perlambangan hitam putih kehidupan, video muzik itu digarap dengan dua elemen berbeza iaitu warna hitam dan putih, ruang luas dan sempit, serta suasana malam dan siang.

Menurut Shimy lagi, proses kreatif  dan permainan ekspresi Sophia berupaya menterjemah maksud lagu ini secara visual dan memberi kesan emosi kepada penonton.

Mengulas tentang pendamping visual lagunya ini, Sophia berharap menerusi video muzik ini, pendengar dapat mendalami mesej dan merasai emosi yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini.”

Video muzik rasmi dulu sudah boleh dilayari di saluran YouTube Sophia Liana manakala single itu boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. – MalaysiaGazette