Razali Abu Samah.

SERDANG – Polis sudah melengkapkan siasatan membabitkan enam anggota polis yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan jenayah pemerasan terhadap orang awam.

Laporan lengkap itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah hari ini.

“Kertas siasatan itu terhadap keenam-enam anggota polis di IPD Serdang itu sudah selesai dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk tindakan susulan.

“Selain itu, kita juga masih menunggu keputusan laporan patalogi milik salah seorang daripada anggota berkenaan yang dikesan positif dadah menerusi saringan air kencing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemantauan Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi menghala Seremban dan juga Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Razali, kesemua enam anggota yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu kini ditempatkan di bahagian pentadbiran.

“Mereka sudah tidak lagi dibenarkan terlibat dalam tugas luar hanya duduk di bahagian pentadbiran sehingga menunggu tindakan lanjut dan pertimbangan Timbalan Pendakwaraya kelak,” katanya.

Oktober lalu, Razali mengesahkan penahanan enam anggota berpangkat Koperal, Lans Koperal dan Konstabel itu oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas disyaki melakukan pemerasan terhadap orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong.

Malah salah seorangnya dikesan positif dadah Methaphetamine dan telah dirujuk jabatan kimia untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diharap kerap buat pematuhan terutama di setiap SJR semasa PKPB.
    Kerapan JIPS membuat pemantauan dapat meningkat kembali Integriti PDRM kerana kerap ditularkan berkait masalah displin setengah anggota PDRM dari peringkat bawah sehingga atasan.Tindakan tegas kepada mereka yg tiada IMAN dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa INTERGITI yang tinggi memastikan Negara Malaysia selamat daripada anasir luar
    Segala tindakan ini amat dialukan oleh semua rakyat supaya amalan bersih,cekap dan amanah dipegang teguh semua agensi penguatkuasa .

Comments are closed.