KUALA LUMPUR – Jabatan Laut mengesahkan tiada pencemaran marin berlaku susulan kejadian tongkang terbalik di berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, pada 5 November jam 6 petang, ejen perkapalan Xing Her Shipping Sdn Bhd melaporkan tongkang dalam keadaan senget di dalam had pelabuhan Kuantan kepada Pejabat Laut Kuantan.

Kejadian jam 5.10 petang itu melibatkan tongkang Surya Nawa 2 yang membawa muatan kargo sebanyak 7000 tan metrik (mt) Dolomite dari Pelabuhan Khanom, Thailand menuju ke Pelabuhan Kuantan, Malaysia yang ditunda menggunakan bot tunda Surya Wira 21.

Kira-kira jam 9 malam pada hari yang sama, tongkang itu telah terbalik sepenuhnya tetapi masih dalam keadaan terapung.

Jabatan Laut berkata, kemalangan hanya melibatkan Surya Nawa 2 sahaja manakala bot tunda Surya Wira 21 yang membawa tongkang tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan.

Pada masa kenyataan ini dikeluarkan, kawasan kejadian dipantau sepenuhnya oleh Kuantan Port Control menggunakan Pilot Boat Pelabuhan Kuantan.

Jabatan Laut Malaysia telah menubuhkan pasukan penyiasat bagi mendapatkan perincian
sebenar punca kemalangan selain mengeluarkan siaran NAVTEX, Pekeliling Pelabuhan serta notis untuk memaklumkan kepada komuniti perkapalan tentang bahaya kapal karam di kawasan tersebut.

Dapatan awal setakat ini mendapati tiada sebarang kejadian pencemaran marin berlaku namun pemantauan berkala juga dilaksanakan oleh Jabatan Laut dari aspek keselamatan pelayaran dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette