Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Seramai 511 individu dikenakan kompaun manakala, empat lagi direman ekoran ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat individu dibebaskan selepas dibenar untuk diikat jamin.

Katanya, polis menahan 519 individu atas kesalahan tersebut yang kesemua penahanan itu dibuat semalam.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), tidak memakai pelitup muka (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (67), premis beroperasi lebih masa (23), aktiviti pusat hiburan (9), dan lain-lain (88),” katanya menerusi perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Operrasi Benteng yang dilakukan pihak berkuasa berjaya menahan seramai enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, turut berjaya dirampas dalam operasi itu tiga buah kenderaan darat.

Ujar beliau, sebanyak 298 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (157 SJR), ATM (132 SJR) dan AKSEM (sembilan SJR).

Beliau menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dengan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus. – MalaysiaGazette