Ahli keluarga tiba di pekarangan forensik bagi proses pengecaman mayat yang terlibat dalam kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Salah seorang mangsa helikopter terhempas di Taman Melawati pagi tadi, arwah Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi tidak menunjukkan tanda pelik atau perubahan ketara pada dirinya.

Seperti biasa, Mohd Irfan meninggalkan rumah untuk bersama seorang lagi mangsa, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon untuk menjalani latihan penerbangan.

Abang mangsa Mohd Irfan Mohamed Rawi, Mohd Izani Mohamed Rawi (kiri) bercakap kepada media selepas tiba di pekarangan forensik bagi proses pengecaman mayat adiknya yang terlibat dalam kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

Abang sulung arwah, Dr Mohd Izani Mohamed Rawi berkata, adiknya meminati dunia penerbangan dan dia mempunyai memperoleh lesen untuk menerbangkan helikopter.

“Biasa sahaja, memang perkara biasa arwah terbang macam ini, untuk kami ini satu perkara biasa, kadang-kadang dia tidak cakap dan kami juga tidak akan tanya kerana sudah jadi kebiasaan malah itu hobi arwah.

“Memang kita tidak sangka ini akan terjadi, selepas kejadian kami sekeluarga mengenal pasti tangan dan jam dipakai arwah melalui gambar yang tular di laman sosial WhatsApp sahaja,” kata kepada pemberita di luar perkarangan forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras hari ini.

Menurut Mohd Izani, isteri arwah berada di PPUKM namun beliau tidak mampu untuk berkata-kata kerana terlalu sedih dan pasangan itu mempunyai lima orang anak.

Reaksi sugul Isteri mangsa Mohd Irfan Mohamed Rawi, Wan Nani Bazlin tiba di pekarangan forensik bagi proses pengecaman mayat suaminya yang terlibat dalam kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

Dalam pada itu, Mohd Izani memberitahu, beliau tidak dapat membuat pengecaman mahupun melihat jenazah arwah adiknya berikutan garis panduan Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Buat ujian Covid-19 dulu, sebentar tadi ada ambil sampel. Keputusan mungkin malam ini, kita kena tunggu mereka hubungi dahulu. Mungkin proses bedah siasat akan mula pagi esok jika keputusan ujian negatif.

“Kami akan tunggu, untuk urusan jenazah kami bincang antara adik beradik dan isterinya terlebih dahulu malam nanti. Kalau kamu tanya saya sekarang pun, saya tidak pasti lagi,” ujarnya.

Dalam kejadian 12 tengahari tadi, dua helikopter bertembung di Taman Melawati, di sini dan sebuah helikoter terhempas yang meragut dua nyawa, jurulatih penerbangan, Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56 dan pelatih penerbangan, Mohd Irfan yang merupakan pelatih penerbangan.

Sebuah lagi helikopter yang dikendalikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya bersama rakannya, Tan Chai Eian berjaya membuat pendaratan cemas di sebuah padang sekolah. – MalaysiaGazette