Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan telah memulakan siasatan bagi mengetahui punca insiden helikopter terhempas di Taman Melawati hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13), laporan awal siasatan perlu disediakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kejadian kemalangan udara berlaku.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan.

“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, pasukan penyiasat terbabit akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam
setelah keseluruhan siasatan selesai.

Ujarnya, dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.

Tengahari tadi, ibu negara digemparkan laporan mengenai sebuah helikopter yang terhempas berhampiran Taman Melawati, di sini kira-kira pada pukul 11.46 pagi.

Menurut laporan awal kemalangan itu melibatkan dua buah helikopter yang bertembung dan terhempas.

Kedua-dua helikopter itu dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Genting Sempah.

Insiden tersebut meragut dua nyawa dengan identiti yang terkorban dikenali sebagai Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri Baharom, 56.

Manakala dua yang terselamat pula adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan. – MalaysiaGazette