Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan untuk menutup semula sekolah di negara ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

Menterinya, Dr Radzi Jidin berkata, penutupan semua sekolah turut meliputi negeri yang tidak dikenakan perintah PKPB.

“KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.

“Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM,” katanya dalam sidang media di KPM, hari ini.

Arahan itu merangkumi lebih 5 juta orang murid dan pelajar serta lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan warga KPM.

Radzi berkata, semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga 17 Disember.

Jelas beliau, langkah ini diambil bagi membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19.

Semalam, kerajaan mengenakan PKPB di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan memanjangkan PKPB di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.

Pelaksanaan PKPB itu kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti untuk bagi mengekang penularan Covid-19.

Tambah Radzi lagi, sesi pembukaan semula sekolah akan dimulakan penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021.

Ia akan melibatkan semua murid sekolah rendah, peringkat menengah kecuali Tingkatan 2 dan Tingkatan 3.

“Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

“Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid,” kata Radzi lagi.

Kesemua murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac depan.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

Malah, pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” tambah beliau.

Bercakap mengenai peperiksaan peringkat tertinggi di negara ini, Radzi berkata, KPM telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.

“Peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021. Manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

“Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette