Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyerahkan sumbangan kepada Mohd Nazmi Naim Ahmad Fazil (kiri) sempena Program Penyerahan Sumbangan Banjir oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Tarbiyah Kampungg Darul Hidayah (KOMTA) Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT- Agensi berkaitan di bawah kerajaan pusat dan negeri diharap dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu banjir di Hulu Langat yang tidak berkesudahan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary masalah itu perlu diselesaikan kerana melibatkan kerosakan harta benda penduduk.

“Saya minta semua agensi yang terlibat yang menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini termasuklah kerajaan pusat dan negeri fokus untuk menyelesaikan masalah yang berulang.

“Setiap kali datang hujan lebat berlaku banjir memusnahkan barang-barang harta benda yang kekal melibatkan banyak kos,” katanya ketika sidang media ketika hadir dalam majlis pengagihan 500 bakul makanan bantuan untuk penduduk yang terjejas di sini hari ini.

Pada 3 November kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air akibat hujan berterusan semalaman menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan berhampiran.

Berikutan itu kira-kira 1,000 kediaman di 10 kampung serta taman perumahan di kawasan itu dinaiki air.

Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Batu 20 Sungai Lui; Kampung Batu 14; Kampung Batu 16; Kampung Kuala Perdik; Kampung Batu 18; Kampung Batu 17; Kampung Sungai Serai; Kampung Dusun Nanding; Kampung Baru 13; Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast