Jenazah Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharom di Unit Forensik Hospital Tunku Canselor Muhriz (HCTM) telahpun selesai sebentar tadi.

Van yang membawa jenazah beredar kira-kira pukul 11.40 pagi menuju ke Masjid Khalid Al-Walid di Jalan Padang Tembak dan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di masjid itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Batu Caves.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, urusan mengurus jenazah selepas bedah siasat hanya dilakukan oleh beberapa pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia serta kakitangan di unit forensik berkenaan.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr Hanafiah Harunrashid ketika ditemui berkata, proses bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat Mohd Sabri berjalan dengan baik selama dua jam.

Katanya, ketika ini pasukan forensik sedang melakukan bedah siasat terhadap mayat Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi yang akan memakan masa yang sama.

“Semua berjalan dengan baik dan sekarang ini kita sedang buat satu lagi bedah siasat. Proses ini juga akan makan masa lebih kurang dua jam,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan yang hadir ke unit forensik berkenaan mengelak daripada ditemubual oleh media.

Beliau berjalan dengan pantas sejurus keluar dari pintu bilik jenazah dan mengunci mulut ketika ditanya media tentang kehadirannya ke situ.

Hari ini, Unit Forensik HCTM melakukan bedah siasat terhadap dua jenazah yang merupakan mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi semalam, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dilaporkan bertembung.

Akibat daripada pertembungan tersebut, salah sebuah helikopter itu terhempas manakala sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati.

Kedua-dua helikopter itu dipercayai menuju ke Genting Sempah. – MalaysiaGazette