Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 3.7 peratus pada September 2020 kepada 46,187 tan metrik berbanding 44,543 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Manakala perbandingan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, pengeluaran mencatatkan penurunan sebanyak 25.2 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,720 tan metrik pada September 2020, meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 42,658 tan metrik pada Ogos 2020.

Menurutnya, China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 46.0 peratus daripada jumlah eksport pada September 2020 diikuti Jerman (13.2%), Iran (3.8%), Finland (3.3%) dan Brazil (3.1%).

Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 25.6 peratus dari RM3.0 billion pada Ogos 2020 kepada RM3.8 billion pada September 2020.

Antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan tersebut adalah kepada Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.

Stok getah asli meningkat pada September 2020 iaitu sebanyak 255,140 tan metrik berbanding 233,492 tan metrik pada Ogos 2020 dengan peningkatan 9.3 peratus.

“Harga purata bagi Lateks Pekat pada September 2020 merekodkan peningkatan kepada 484.57 sen sekilogram berbanding Ogos 2020 (467.71 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut meningkat kepada 558.50 sen sekilogram berbanding 538.68 sen sekilogram bagi tempoh yang sama”, katanya lagi.

Penggunaan getah asli di peringkat domestik pada September 2020 ialah 45,207 tan metrik, menurun sebanyak 2.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 34,016 tan metrik atau 75.21 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. harap kerajaan tubuh satu pasukan utk kaji dan siasat samada harga getah yang murah adalah akibat manipulasi oleh org tengah dan pihak industri. Alasan yg kerap diberi, getah asli kurang guna semasa petroleum harga rendah sbb getah sintetik. Tp ada siapa yang ada buktikan? Pendapat aku, ada nisbah minimum antara getah asli dan getah sintetik bru bleh jd produk. Tp sbb penoreh ni banyak kaum bumiputera dan bumiputera sendiri takda dlm industri ni, pihak industri manipulasi harga. Sapa pun taktau. Yg kekal miskin penoreh bumiputera. Yg kaut untung peraih dan taukey kilang.
    Tak logik sungguh permintaan sarung tangan yg melambung skarang, harga getah tetap maintain. Berpusu pusu kilang sarung tangan buka sekarang di Kulim Hitech. Siap Top Glove nak masuk list Bursa Hong Kong..

Comments are closed.