UEM Sunrise
Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Malaysia (REHDA) berharap kerajaan akan meluaskan lagi program Rent-to-Own kepada pasaran terbuka dan bukan hanya terhad kepada 5,000 unit rumah PR1MA sahaja.- MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Malaysia (REHDA) berharap kerajaan akan meluaskan lagi program Rent-to-Own kepada pasaran terbuka dan bukan hanya terhad kepada 5,000 unit rumah PR1MA sahaja.

Pengerusinya, Datuk Ir. Seom Heng Choon berkata, program Rent-to-Own yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 itu sangat bagus untuk membantu rakyat yang masih belum bersedia untuk membeli rumah terutamanya golongan muda yang baru memulakan kerjaya.

Cadangan tersebut katanya, sering diutarakan oleh Rehda dan mereka gembira apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya.

Menyentuh mengenai pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, Heng Choon berkata, ia adalah satu belanjawan yang inklusif dan tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami juga bersyukur kerana kerajaan memberikan insentif kepada sektor perumahan dan ini dijangka mampu merangsang industri dan memberi lebih kuasa kepada bakal pembeli untuk mencari rumah idaman mereka.

“Insentif-insentif tersebut merupakan langkah tambahan kepada apa yang telah diumumkan lebih awal iaitu sewaktu pelancaran pakej rangsangan Penjana pada Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Heng Choon,pelanjutan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengalai bagi tempoh lima tahun lagi memberi kelegaan kepada pembeli yang tertekan apabila rumah yang dibeli terbengkalai.

Insentif yang diumum di bawah Strategi Kelima: Menjamin Kesejahteraan Rakyat itu juga diharap dapat memberi galakkan kepada kontraktor-kontraktor untuk tampil menyelamatkan projek terbengkalai dan sekali gus merealisasikan impian pembeli,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette