Pasukan IEEE Cawangan UTeM dianggotai seramai 4 orang pelajar UTeM iaitu 3 orang pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian iaitu Woo Xiu Juan, Ng Chi Yuan dan Yeap Sheng Yi manakala seorang lagi adalah Vikneswaran A/L Rajandaran yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuteraan Elektronik dengan kepujian.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai kumpulan IEEE Cawangan UTeM berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila merangkul kedudukan naib johan Pertandingan Membina Laman Sesawang Pelajar Global IEEE 2020, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) MGA Student Activities Committee yang bertujuan untuk mendedah dan mempromosi laman web pelajar yang mampu memberi maklumat mengenai aktiviti, maklumat teknologi terkini, peluang belajar dan faedah-faedah IEEE.

Ia merangkumi usaha kreativiti yang turut berobjektif bagi memudahkan pelajar dalam cawangan IEEE memperoleh maklumat.

Pertandingan ini telah mendapat penyertaan hebat lebih 25 pasukan daripada kalangan kumpulan mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia dari 10 kawasan wilayah masing-masing.

Kejayaan kumpulan IEEE Cawangan UTeM ini telah melayakkan mereka menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak 500 US Dollar bersama dengan sijil penghargaan atas kemenangan tersebut.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim gembira dengan perkembangan itu kerana pensyarah dan pelajarnya berjaya mengaplikasikan ilmu dan kepakaran di pentas antarabangsa.

Katanya, pencapaian ini menggambarkan  UTeM terus menyemarakkan budaya pembelajaran efektif serta penyuntikan konsep kreativiti dan inovasi yang diserapkan dalam kalangan pelajarnya.

Beliau berharap agar kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTeM terus menyerlah jauh dalam pelbagai bidang lagi sekaligus menjulang nama universiti dan negara di pentas dunia.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM yang merupakan penyelia kumpulan IEEE Cawangan UTeM, Prof Madya Dr Chong Shin Horng berkata, mereka telah mengambil masa sekurang-kurang dua bulan untuk membina laman sesawang IEEE Cawangan UTeM.

Jelasnya, bermula daripada peringkat pemohonan seterusnya proses menambah, menyusun serta mengemaskini maklumat dalam laman sesawang serta pelbagai cabaran dilalui bagi memastikan laman sesawang kami menjadi lebih informatif, menarik dan menjadi perhatian dunia.

Kumpulan Penuntut UTeM Julang Nama Malaysia di Pentas Dunia apabila meraih kedudukan naib johan Pertandingan Membina Laman Sesawang Pelajar Global IEEE 2020.

Mereka bersyukur kerana hasil kerja mereka mendapat tempat di hati barisan juri apabila kesemua kriteria yang merangkumi 6 kategori iaitu kandungan, kemampuan navigasi, keaslian, persembahan keseluruhan, kemudahalihan dan masa muat berjaya dipenuhi oleh mereka.

Pasukan IEEE Cawangan UTeM dianggotai seramai empat orang pelajar UTeM iaitu tiga orang pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian iaitu Woo Xiu Juan, Ng Chi Yuan dan Yeap Sheng Yi manakala seorang lagi adalah R. Vikneswaran yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan kepujian.

“Pengalaman dalam pertandingan ini amat berharga buat mereka bilamana bukan setakat kecekapan dalam menyediakan laman sesawang sahaja diuji malah medan ini membolehkan kita mengukur sejauhmana kemampuan dan keupayaan kami bersaing di pentas antarabangsa.

“Kami berharap apa yang telah dibangunkan ini menjadi salah satu platform yang terbaik untuk pelajar mendapatkan informasi dan pengalaman berkaitan teknologi terkini serta kemahiran insaniah yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Secara umumnya juara bagi pertandingan itu telah dimenangi oleh mahasiswa dari Pueruana Cayetano Heredia University, Peru manakala dua pasukan yang memenangi tempat ketiga dan keempat pula dimenangi mahasiswa dari Universidade do Porto, Portugal dan UPIITA, Mexico.- MalaysiaGazette