Sebahagian pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang melihat lebih dekat kereta Proton X50 yang baru sahaja dilancarkan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Jualan Proton Edar Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit merekodkan RM110.8 bilion pada September 2020, melantun semula untuk pertama kali semenjak penularan Covid-19 untuk mencatatkan pertumbuhan 0.2 peratus tahun ke tahun.

Pemacu pertumbuhan itu adalah kenderaan bermotor yang melonjak 17.1 peratus berbanding September 2019.

Perdagangan runcit turut kembali ke landasan positif dengan pertumbuhan tahun ke tahun 1.1 peratus.

Bagaimanapun, Perdagangan Borong masih merekodkan pertumbuhan negatif 4.2 peratus pada September 2020, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan tumbuh -0.6 peratus pada September 2020 berbanding Ogos sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa kawasan sasaran.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, bagi subsektor kenderaan bermotor, jualan kenderaan bermotor memacu pertumbuhan dengan 34.8 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM7.9 bilion.

Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.1 bilion, meningkat 9.4 peratus.

Sebaliknya, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor menguncup 2.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya untuk merekodkan RM1.5 bilion.

Manakala jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor juga merosot 3.1 peratus kepada RM3.1 bilion.

Bagi perdagangan runcit, pertumbuhan positif 1.1 peratus adalah disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 7.6 peratus kepada RM16.1 bilion tahun ke tahun, diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman & tembakau yang meningkat 8.2 peratus kepada RM2.7 bilion.

Jualan runcit peralatan isi rumah turut berkembang 1.1 peratus kepada RM5.9 bilion diikuti oleh jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar yang naik 9.2 peratus kepada RM0.4 bilion.

Jualan runcit di gerai dan pasar juga merekodkan pertumbuhan positif 8.2 peratus kepada RM0.1 bilion.

Sementara itu, jualan produk bukan keperluan ini masih merekodkan pertumbuhan negatif iaitu jualan runcit kelengkapan informasi & komunikasi dengan -7.0 peratus, jualan runcit barangan kesenian & rekreasi -9.9 peratus dan jualan runcit di kedai pengkhususan -1.2 peratus,” jelas beliau. – MalaysiaGazette