Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan Palestin akan menjadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 walaupun negara itu bukannya anggota pertubuhan itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendirian negara berhubung pergolakan di Palestin akan dikemukakan pada persidangan itu.

“Mesyuarat pagi yang turut disertai oleh Menteri Luar ASEAN lain, kita sekali lagi menyatakan pendirian konsisten kita menyatakan apa dia suara rakyat Malaysia serta kepimpinan kerajaan negara ini.

“Mana-mana ruang dan peluang untuk kita menyuarakan pendirian kita yang cukup konsisten dan tegas daripada dulu lagi, merupakan sesuatu yang wajib kita bangkitkan,” katanya  pada persidangan video sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 pada Khamis ini.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Hishammuddin.

Sidang Kemuncak tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Menurut Hishammuddin, persidangan itu akan membincangkan pengiktirafan negara lain terhadap Israel.

“Isu ini bukan sesuatu yang boleh kita putus atau tetapkan. Keputusan bukan pada kita dan walaupun kami menghormati pendirian negara lain tapi itu kita tidak dibincangkan,” ujarnya.

Selain itu kata Hishammuddin antara yang diperbincangkan ialah hala tuju ASEAN mencakupi pembangunan komuniti, pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025 serta beberapa perkara serantau serta antarabangsa. – MalaysiaGazette