SKMM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 48 pertuduhan telah difailkan di mahkamah bagi tempoh antara Januari sehingga September 2020 lalu akibat penyalahgunaan media sosial.

Angka tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 66%, lebih tinggi berbanding pada tahun 2019.

Daripada jumlah 48 tersebut, 34 pertuduhan melibatkan kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 22 pertuduhan.

Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga pertuduhan.

Manakala 14 pertuduhan yang selebihnya adalah merupakan kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti yang diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan yang diperoleh.

Kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan dan ia diikuti rapat oleh WhatsApp sebanyak 13 pertuduhan sementara Instagram dan blog masing-masing mencatatkan bilangan terendah iaitu satu pertuduhan sahaja.

SKMM berkata, secara keseluruhannya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2020, pihaknya telah menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama berkaitan dengan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding dengan hanya 139 yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, peningkatan dari segi bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan MCMC dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat.

Selain itu, tindakan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan persekitaran Internet yang selamat dan terjamin. – MalaysiaGazette