Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah bersama Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi bergambar dengan artis dan ikon pada Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah di Hotel Primera, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah berkolaborasi bersama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk melantik enam penyanyi dan pelakon sebagai Ikon Antidadah.

Mereka adalah Floor 88, Aiman ​​Tino, Keena Mentor dan Izzmad Harun yang merupakan lantikan semula manakala Elisya Sandha dan Hafiz Nafiah adalah lantikan baharu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pelantikan yang menggunakan selebriti itu adalah untuk membantu agensi dalam menyebarluaskan pesanan mengenai kesan bahaya penyalahgunaan bahan terlarang kepada kumpulan sasaran.

Jelas beliau, selain itu, pelantikan juga adalah sebagai benteng kepada golongan selebriti agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan seterusnya menaikkan gambar selebriti sebagai bebas dadah serta menjadi teladan kepada masyarakat terutamanya golongan remaja dan belia.

“Pemilihan mereka dibuat berdasarkan kemampuan masing-masing dalam meraih perhatian kumpulan sasar, yang secara tidak langsung dapat memberikan maklumat yang berkaitan dengan lebih banyak dan menyeluruh.

“Selebriti yang dilantik menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat berkaitan gaya hidup, aktiviti positif seperti berpersatuan, mengamalkan pemakanan sihat dan berkongsi perlakuan yang negatif,” katanya pada sidang pengumuman Ikon Antidadah itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Ismail Izzani, Black Hanifah, Tomok dan Achey merupakan Ikon Antidadah bagi tahun 2019/2020.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Ikon Antidadah yang dilantik akan menjayakan program jerayawara di tiga buah kawasan Inisiatif Bersepadu melibatkan pelajar sekolah dan komuniti di Felda Keratong, Pahang; Kuala Kedah, Kedah dan Batu Pahat, Johor.

Namun katanya, memandangkan masalah pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara, beberapa program secara bersemuka yang dirancang ditangguhkan dan penglibatan mereka lebih kepada media sosial seperti bersiaran langsung di Instagram atau Facebook, rakaman dan sebagainya.

“Bagi memperkasakan kekuatan Ikon Antidadah, AADK telah berkolaborasi bersama Floor 88 dalam menerbitkan lagu berjudul Chikadun.

“Menerusi lagu ini, mesej antidadah disampaikan secara santai dan diharap diterima secara mudah oleh golongan santai.

“Kandungan liriknya memberikan ingatan kepada pendengar remaja dan belia supaya menjauhi tindakan negatif
terutama penyalahgunaan dadah.

“Video muzik untuk lagu tersebut dikeluarkan pada 9 November lalu dan telah mendapat tonton 300,000 di Youtube,” katanya.

Selain itu, tanda pagar TakPerluStimGuys kini digunakan oleh semua platform media. – MalaysiaGazette