Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) yang melepasi paras RM3,000 setan dijangka terus meningkat, dipacu oleh sentimen pasaran yang positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung tahun 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga minyak sawit di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran, selain faktor asas dan sentimen pasaran.

Harga MSM telah menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara, melonjak kepada RM3,424 setiap tan pada 6 November 2020 berbanding paras terendahnya, iaitu RM2,021.50 setiap tan pada 12 Mei 2020, peningkatan sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus.

Harga MSM yang mencecah RM3,424 setan ini adalah tertinggi sejak 3 Mei 2012 iaitu pada RM3,417.50 per tan.

Mohd Khairuddin menambah, peningkatan harga MSM telah menyumbang kenaikan harga Buah Tandan Segar (BTS) kepada RM727 per tan (berdasarkan OER untuk gred 20 peratus) pada 6 November 2020 berbanding RM408 per tan pada 12 Mei 2020. Trend MSM itu menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit.

”Berdasarkan prestasi dan jangkaan harga dan pengeluaran BTS dari estet sepanjang tahun 2020, potensi hasil kutipan levi keuntungan luar biasa oleh kerajaan pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM348 juta berbanding hanya RM256,000 sahaja pada tahun 2019.

”Sebagai panduan, levi dikenakan pada kadar 3 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500/tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000/tan di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Kementerian juga, katanya, sedang mengkaji struktur keseluruhan percukaian dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri sawit.

Ini menunjukan kenaikan harga sawit bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta estet tetapi juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi demi
kemakmuran negara. – MalaysiaGazette