Yong Teck Lee

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempercepatkan proses mendapatkan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh sebuah syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dilantik, Datuk Yong Teck Lee berkata, vaksin berkenaan penyelesaian jangka panjang yang terbaik untuk pandemik Covid-19 dan juga menghentikan krisis ekonomi negara.

“Baru-baru ini, Pfizer dan BioNTech telah mengembangkan vaksin yang lebih daripada 90 peratus perlindungan berkesan terhadap virus Covid-19.

“Difahamkan, dos vaksin ini akan dikeluarkan mulai awal Disember depan. Ini adalah berita baik dan kerajaan harus segera mengesan untuk memastikan vaksin ini dapat diperoleh secepat mungkin.

“Sinopharm China (pengeluar vaksin) juga telah dilaporkan berjaya setakat ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau dalam masa yang sama menggesa kerajaan  memaklumkan rancangan terkini berkenaan perkembangan vaksin kerana kenyataan terakhir ia dikatakan sudah pada peringkat akhir percubaan.

Malaysia tambahnya perlu berusaha menilai pelbagai vaksin yang kini berada pada peringkat akhir percubaan untuk mempersiapkan kepada barisan hadapan termasuklah rakyat.

Terbaharu, sebuah syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer mengumumkan sedang membangunkan vaksin Covid-19.

Sehingga kini dilaporkan vaksin berkenaan berjaya mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, Kementerian Kesihatan perlu menganalisis laporan ujian klinikal fasa ketiga setiap vaksin wabak berkenaan yang dibangunkan sebelum membelinya.-MalaysiaGazette