SEPANG – Beberapa laluan masuk ke kawasan perniagaan Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) mula ditutup bermula petang hingga lewat malam semalam bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kerja-kerja pemasangan penghadang laluan dilaporkan bula dipasang pada jam 7 malam semalam dengan laluan terlibat ditutup dengan kawat duri dan bongkah konkrit oleh anggota pasukan keselamtan.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi pada pagi ini mendapati mereka yang tinggal di kawasan rumah kedai itu kebanyakannya berasal dari Sabah dan bekerja di kawasan sekitar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata, sejak mendapat berita kemungkinan PKPD dilaksanakan di BBST, terdapat penduduk melarikan diri sebaik sahaja terpandang kehadiran anggota polis dan tentera di kawasan tersebut pada petang semalam.
“Sini bukan orang asing, sini lebih kepada penghuni dari Sabah, ramai tinggal di tingkat atas kedai ini, semua bilik telah diubah suai dan disewa kepada mereka.
“Sini juga lokasi strategik untuk laluan bas ke lapangan terbang serta lokasi berhampiran, kerana itu rata-rata mereka dari Sabah tinggal sini dan bekerja, warga asing tak ramai.
“Mungkin juga mereka lari kerana dengar macam-macam, terkurung dan susah untuk keluar, makan dan sebagainya. Mungkin itu sebabnya, saya tidak pasti tapi ramai juga lari semalam sebelum PKPD,” katanya ketika ditemui di sebuah gerai makan hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati pelaksanaan PKPD berjalan lancar dengan anggota polis dan tentera melakukan kawalan ketat di kawasan komersial Medan 88 BBST.
Kawasan berkenaan dipercayai mempunyai kes penularan Covid-19 yang membabitkan Kluster Bah Medan dari Sabah.
Petugas barisan hadapan dilihat berkawal di beberapa lokasi di kawasan yang dikelilingi pagar kawat duri.
Beberapa khemah turut didirikan bagi tujuan melakukan saringan ujian Covid-19 ke atas penduduk kawasan tersebut, malah penduduk mulai beratus untuk proses tersebut.

Selain itu, bantuan bekalan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mula dikumpul di luar kawasan PKPD untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
Antaranya bantuan yang akan disalurkan itu ialah keperluan asas seperti beras, bihun dan telur.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman mendedahkan kira-kira 800 penduduk tinggal dalam kawasan tersebut.
“Kes pertama mula dikesan pada 4 Oktober lalu dan pada 5 November, jumlah keseluruhan kes mencecah 40 kes,” katanya kepada media hari ini. – MalaysiaGazette
















