Kapal Dayang Topaz yang dilaporkan mulai karam di posisi 7.7 batu nautika dari Baram, Miri - Pix APMM

KUALA LUMPUR – Jabatan Laut Malaysia (JLM) menarik semula sekatan lawatan pihak ketiga dan Petronas ke atas kapal platform, MV Dayang Topaz, selepas mendapati tiada pencemaran marin dan ujian saringan swab Covid-19 ke atas kru dan penumpangnya adalah negarif.

Menurut JLM, berikutan itu tindakan telah dilakukan bagi tujuan pengambilan bahan bukti rakaman data pelayaran (Voyage Data Recorder – VDR) kapal itu bagi melengkapkan siasatan.

“Dapatan awal insiden sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, JLM telah memastikan kesemua perincian faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian kemalangan ini dan tindakan berkaitan diambil bagi memastikan siasatan berjalan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JLM menubuhkan pasukan penyiasat pada 27 Oktober lalu susulan insiden Dayang Topaz merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram di Miri.

Seramai 185 kru berada dalam kapal itu selamat manakala dua terkorban.

Menurut JLM, Pada 29 Oktober lalu, pasukan penyiasat jabatan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat tinjauan di lokasi (Baram-B) dan kapal itu dan hasil tinjauan tersebut mendapati tiada pencemaran marin berlaku.

Selain itu, keputusan ujian swab Covid 19 bagi semua krew dan penumpang disahkan negatif pada 6 November lalu. – MalaysiaGazette