Nur Athirah Abdul Latif menerima sumbangan motosikal daripada engku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

REZEKI terpijak buat Nur Athirah Abdul Latif, 23 selepas beliau dirundung malang apabila motosikal yang baru dibeli kira-kira tiga bulan lalu hilang dicuri di sebuah pasar raya di Batu Caves Baves pada minggu lalu. Nur Athirah menerima kejutan daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menghadiahkan kepadanya sebuah mtosikal baharu sebagai ganti. Kisah sedihnya semasa kehilangan motosikal itu tular di media sosial memandangkan motosikal yang dicuri itu menjadi punca rezeki kepadanya untuk menyara ibu dan dua adik-beradiknya yang lain melalui hasil pendapatan sebagai penghantar barang sepenuh masa. 

Kisah Nur Athirah merupakan antara sebahagian kisah duka rakyat Malaysia yang diuji sepanjang negara ‘terkurung’ sejak bulan Mac lalu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melawan pandemik Covid-19. Ketika rakyat Malaysia diuji dengan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, ada pihak yang mengambil jalan mudah dengan menjadikan harta benda orang lain untuk mendapatkan duit!

Semasa peringkat awal pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan kadar indeks jenayah menurun sebanyak 70 peratus di seluruh negara tetapi kes jenayah yang masih berlaku secara ketara adalah kes pecah rumah dan mencuri motosikal. Sebaik sahaja kerajaan ‘melonggarkan’ PKP diseluruh negara mulai Jun lalu, ia secara tidak langsung membuatkan para penjenayah menghidu keadaan ini sebagai satu peluang untuk kembali merancakkan lagi kegiatan mereka.

Andaian penulis ada asasnya kerana Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumaran mengakui berlaku peningkatan indeks jenayah di Selangor susulan kelonggaran pergerakan selepas tamatnya PKP. Menurutnya, penjenayah dikesan mengambil peluang ini untuk menyambung aktiviti jenayah yang tergendala sebelum ini susulan larangan keluar rumah semasa PKP. “Sejak berakhirnya PKP, laporan polis yang diterima berhubung kejadian samun, ragut, pecah rumah dan sebagainya meningkat terutamanya di beberapa daerah di negeri ini,” ujarnya.

Pecah rumah, samun, mencuri, ragut dan seumpamanya merupakan ‘pekerjaan’ kepada individu yang kita gelarkan sebagai penjenayah dan semestinya ini adalah pekerjaan yang bersalahan di sisi undang-undang dan kepercayaan agama mana sekalipun. Sedarilah penjenayah ibarat jerat yang tak pernah lupakan pelanduk, sentiasa ‘bersedia’ menunggu mangsanya. Persoalannya adakah kita sentiasa berjaga-jaga dan berwasapada dari dijerat? Menurut pihak Polis Diraja Malaysia, sikap cuai dan ambil mudah masyarakat kita terhadap keselamatan diri dan harta benda mereka antara punca berlakunya kes jenayah. 

Contohnya dari beberapa kes kecurian dan rompakan, ia berlaku kerana mangsa meletakkan kenderaan di tempat yang kurang selamat, meninggalkan kenderaan tanpa dikunci atau pengawasan sepenuhnya dan bagi wanita pula, keluar rumah dengan memakai barangan kemas seperti rantai, gelang, rantai dan sebagainya yang terlalu menonjol. 

Masyarakat perlu mengelakkan kecuaian sebegini kerana ia menarik perhatian dan memudahkan penjenayah membuat onar. Justeru masyarakat harus lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara berkaitan harta benda demi menjamin keselamatan selain tidak mengundang keinginan penjenayah untuk mengambil kesempatan ke atas harta benda mereka. Sesungguhnya, musibah pandemik Covid-19 yang membadai dunia kini benar-benar menguji survival manusia meneruskan kelangsungan hidup, yang lemah imannya mungkin memilih jalan yang salah tetapi keterdesakan ini tidak menghalalkan kepada pelakuan sebarang aktiviti jenayah untuk bermaharajalela. 

Oleh: Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis