Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING – Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menyuarakan rasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Parlimen semalam.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Tiong itu, walaupun Tiong yang merupakan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), adalah salah seorang daripada pemimpin dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan yang juga disertai PBB.

“Saya tidak setuju.. perlu berhemah sedikit dalam Parlimen kalau hendak mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti itu. Anda (Tiong) mungkin pemimpin kita juga, tapi seharusnya tahu cara menyusun kata-kata dengan baik,” katanya dalam persidangan media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tiong di Dewan Rakyat semalam yang mengatakan Dr Noor Hisham dianggap “takut mati” kerana tidak mengunjungi sendiri hospital-hospital di Sabah, dan memberikan sokongan moral kepada petugas barisan hadapan di sana yang sedang bekerja keras menangani pandemik COVID-19.

“Saya terperanjat, benar-benar terperanjat. Saya tidak jangka sama sekali, saya juga rasa ia amat memalukan kerana ia dituturkan oleh seseorang dari Sarawak. Kita seharusnya menginsafi apa yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan selama ini, dalam tempoh yang sukar ketika ini,” katanya.

Berhubung tindakan Tiong yang enggan menarik balik kata-kata itu, dan bertegas yang beliau hanya ingin menggambarkan kekecewaan beberapa petugas barisan hadapan, Abdul Karim berkata, Tiong dilihat agak kasar semasa menyuarakannya, terutama dalam kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, untuk melontarkan kenyataan sedemikian terhadap Dr Noor Hisham.

“Anda boleh tanya kepada mana-mana rakyat Malaysia, saya rasa mereka suka dengan ketua pengarah ini (Dr Noor Hisham). Mereka lebih ‘sukakan’ ketua pengarah ini daripada semua ahli politik atau menteri, kerana kita dapat melihat dan merasakan yang dia sangat ikhlas, ”tambahnya.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Masalah Frontliner terutama dalam menuntut elaun seperti yang dijanjikan melalui proses yg tidak gembirakan.
    Pelbagai masalah yang dihadapi oleh mereka memerlukan perhatian.Walaupun kata-kata MP tersebut menguris hati TSDH tetapi mereka dilapangan juga perlu perhatian dan keluahan mereka perlu didengari sendiri oleh TSDH

Comments are closed.