Foto Instagram Neelofa.

KUALA LUMPUR – Pengacara popular Neelofa mengesahkan dia tidak akan menjalankan perniagaan niqab menerusi jenama tudungnya, Naelofar.

Neelofa, 31, berkata, niqab yang dipakainya adalah untuk koleksi peribadi dan dia mahu mengelakkan salah faham dalam  kalangan orang ramai.

Dia berkongsi isu berniqab apabila ditanya pengacara, Sara Rancak menerusi sesi siaran langsung dalam aplikasi beli belah, Shopee semalam.

Neelofa yang berniqab sejak 15 Oktober lalu turut menafikan pengeluaran perisa mangga yang menggunakan tanda palang #semaniscintapertama itu mempunyai kaitan dengan hubungannya bersama bekas Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail, 25, yang dikatakan merisiknya pada 1 November lalu.

“Perancangan ini adalah aturan Allah SWT, bukan saya. Secara kebetulan, ada satu majlis yang berlaku pada masa produk ini dilancarkan. Ia datangnya daripada pihak yang lain, bukan saya. Tetapi, fakta menarik, Haris lagi suka susu pisang daripada mangga,” katanya.

Menjawab pertanyaan dua benda yang berubah mengenai dirinya, Neelofa memberitahu, dia mahu memperbaiki kisah lampaunya.

“Pastinya saya mahu menukar masa lampau. Saya mahu ‘single’ sepanjang tempoh remaja dan terus berkahwin. Dan satu lagi keinginan saya belajar bahasa Arab,” katanya pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor. – MalaysiaGazette