Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berasa pelik kerana Datuk Seri Najib Razak boleh membahaskan Belanjawan 2021 namun pada masa sama tidak boleh menghadiri perbicaraan di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya Ahli Parlimen Pekan itu mampu hadir hadir di Parlimen, tindakan yang sama boleh dilakukan di mahkamah.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, Najib yang juga bekas Perdana itu wajar mengamalkan penjarakkan fizikal sejauh satu meter ketika perbicaraannya seperti mana di Dewan Rakyat.

“Tetapi amat pelik perbicaraan di mahkamah dihentikan tetapi banduan boleh berucap di dewan Parlimen.

“Jika boleh di Parlimen, tentulah boleh juga di mahkamah. Kurangkanlah pemerhati dan media dan amalkan perpisahan sejauh 1 meter antara mereka yang perlu berada semasa perbicaraan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selasa lalu, Najib membahaskan belanjawan itu atas kapasiti sebagai Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN).

Ucapan beliau itu mendapat perhatian Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mohon mencelah yang bertanya apakah Ahli Parlimen boleh berucap di Dewan Rakyat itu merujuk kepada Ahli Parlimen Pekan dan Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Namun kedengaran suara daripada Ahli Parlimen pembangkang yang menjerit sebagai soalan murahan.

Dr Mahathir kemudiannya berkata, beliau tidak perlu menjawab soalan itu.

Mengulas lanjut, beliau tidak bersetuju dengan keputusan Dewan Rakyat mengurangkan Ahli Parlimen kepada 80 orang sahaja semasa persidangan.

Jelas beliau, sebenarnya banyak sudah perubahan fizikal dibuat untuk memastikan jangkitan tidak berlaku semasa ahli parlimen berada dalam dewan.

Menurutnya, lagipun Ahli Parlimen telah disaring sebelum masuk dewan atau dikuarantin terlebih dahulu.

“Tujuan mengurangkan kepada 80 orang ahli ialah supaya mereka tidak duduk berdekatan semasa dalam dewan.

“Tetapi mereka duduk di tempat biasa seperti 222 orang hadir. Kita lihat barisan menteri-menteri tidak sedikitpun berubah samada 222 hadir atau 80 hadir.

“Jika virus boleh lompat ke kiri dan kanan dan menjangkiti jiran semasa 222 hadir, semasa 80 ahli berada dalam dewan pun virus boleh lompat kerana jarak antara ahli masih sama.

“Apa perlunya mengurangkan kehadiran kepada 80 jika jarak antara ahli sama seperti 222. Sebaliknya diwaktu belah-bahagi 222 ahli boleh masuk dewan,” katanya.

Dr Mahathir memberitahu yang penting dalam prosuder standard operasi (SOP) untuk mengelak dari jangkitan ialah jarak antara individu.

Kata beliau, jarak yang dianggap selamat adalah satu meter namun di dalam dewan terdapat skrin plastik yang melindung Ahli Parlimen daripada orang sebelah.

“Cara ini memang baik. Bagi frontliners, skrin plastik dipakai yang melindung seluruh muka yang sudahpun ditutup dengan mask.

“Di dalam dewan pun diadakan skrin plastik ini. Walaupun jarak antara kita kurang dari satu meter, dengan adanya skrin plastik, kita lebih terselamat dari jangkitan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.