Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengembangkan Program Penjana Komuniti@SME Bank ke seluruh negara pada tahun 2021 dan meningkatkan jumlah peserta kepada 150 usahawan B40 daripada pelbagai latarbelakang.

Inisiatif ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan dalam memperkasa golongan B40 agar mereka dapat terus berdaya maju terutamanya sewaktu krisis Covid-19 ini melanda.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Program Penjana Komuniti@SME Bank ini selaras dengan usaha berterusan MEDAC untuk memperkasakan keupayaan dan kemahiran usahawan mikro dalam menjalankan perniagaan mereka.

Program ini juga merupakan salah satu daripada 27 program dan dasar baharu di bawah PEMACU yang diusahakan oleh MEDAC.

SME Bank telah memulakan Program Penjana Komuniti@SME Bank, program tanggungjawab korporat dan inisiatif di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bertujuan merangsang kegiatan ekonomi yang terjejas di kalangan usahawan mikro B40 akibat penularan Covid-19.

Projek perintis Program Penjana Komuniti@SME Bank ini melibatkan 20 usahawan mikro B40 yang bertempat di PPR Taman Medan, Petaling Jaya dan PPR Jelatek, Kuala Lumpur.

Mereka sedang diberi latihan dan bimbingan bagaimana mengembangkan perniagaan sedia ada melalui platform atas talian dan menggunakan media sosial secara lebih tersusun dan efektif.

PEMACU merupakan satu inisiatif yang menghubungkan fungsi semua agensi di bawah MEDAC agar pemantauan dapat dilaksanakan dengan efisien dan kolaborasi kapasiti dan kompetensi dapat dimaksimumkan.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, untuk memastikan objektif program ini dicapai, SME Bank telah melantik Centre for Entrepreneur Development & Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat SME Bank sebagai penyedia latihan dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Pengurus Projek.

Program latihan sesi pertama telah bermula pada 15 September sehingga 6 Oktober 2020 dan sesi latihan untuk kumpulan kedua akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.

CEDAR juga akan memantau perkembangan dan kemajuan perniagaan para peserta latihan di sepanjang tempoh program tersebut.

Aria menambah, program latihan berbentuk ‘hands-on’ ini merangkumi pembelajaran mengenai ‘Facebook Ads’, ‘Instagram Advertising’ dan ‘Website & Google Ads’.

Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi YEZZA bagi memudahkan mereka
menguruskan perniagaan.

YEZZA merupakan satu platform perniagaan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menjual produk atau servis yang dapat menguruskan perniagaan secara sistematik.

Sementara itu, SME Bank turut menyediakan satu latihan khusus untuk penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank iaitu SME Bank Business Strategic Series atau lebih dikenali sebagai SBSS yang turut ditawarkan oleh CEDAR.

rogram latihan tanpa bayaran ini adalah satu platform bagi usahawan yang beroperasi di kesemua 454 lot kilang di 26 Kompleks Premis Usahawan SME Bank untuk menambah pengetahuan dan kemahiran menjalankan perniagaan serta mengembangkannya ke peringkat yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette