Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan beliau telah meninggalkan jawatan tersebut.

Katanya, turut berbuat demikian adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang juga merupakan Pengerusi UMNO Selangor.

Tempat mereka diganti oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor.

Bercakap kepada MalaysiaGazette pagi ini, Ahmad Maslan berkata, sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau perlu fokus kepada kerja-kerja parti yang banyak, begitu juga dengan Noh.

“Kami sibuk. Komitmen PAC banyak. Mesyuarat hampir setiap hari, waktu sidang pagi dan petang,” katanya yang berundur selepas seminggu dilantik ke jawatan tersebut.

Noh mengumumkan penarikan diri serta merta untuk memberi perhatian lebih kepada UMNO negeri Selangor pada 4 November lalu.

Dalam hantaran di laman Facebook, Noh berharap PAC akan terus memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan dengan lancar dan teratur.

PAC kini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Naib Pengerusi, Datuk Azizah Mohd Dun yang merupakan Ahli Parlimen Beaufort.  – MalaysiaGazette