Aslinda Ahmad Photo Credit MyMetro

KUALA LUMPUR – Bekas pesilat wanita negara era 1990-an, Aslinda Ahmad menafikan beliau telah menjual beberapa barangan kesayangannya, bagi meneruskan kelangsungan hidup seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam.

Bekas atlet berusia 47 tahun itu menjelaskan, beliau terkejut dan terkilan dengan laporan akhbar berkenaan yang tidak menghubunginya bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara berkenaan.

“Saya tak suka menggunakan kesusahan saya untuk meminta badan-badan (kebajikan) lain memberi bantuan kepada saya.

“Banyak organisasi yang sudah membantu saya seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Majlis Sukan Negara, selain saya turut mendapat bantuan zakat (daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aslinda menjelaskan laporan akhbar berkenaan, sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada keluarganya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang turut hadir pada sidang media berkenaan, jelas kesal dengan laporan tidak tepat akhbar berkenaan yang telah memberi kesan kepada keluarga Aslinda.

Beliau menegaskan Pesaka sendiri turut mempunyai ahli gabungan yang dibarisi bekas pesilat kebangsaan yang sentiasa memberikan bantuan kepada mana-mana bekas pesilat yang berdepan dengan kesusahan hidup.

”Apabila laporan ini tersebar, adalah tidak adil bagi saya sebagaimana Aslinda katakan bahawa keaiban keluarganya dipaparkan ke seluruh negara.

“Sepatutnya wartawan berkenaan bertanya dahulu kepada Aslinda kerana ada benda boleh diceritakan, ada yang tidak boleh diceritakan,” tegas Megat Zulkarnain.

Laporan akhbar berkenaan mendakwa Aslinda telah menjual tiga barangan kesayangannya demi meneruskan kelangsungan hidup iaitu, pingat emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hat Yai, Thailand, pingat gangsa Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, Thailand, selain sehelai baju silat Malaysia yang dikatakan dijual kepada satu kedai barangan terpakai di ibu negara dengan harga serendah RM100 lebih.- BERNAMA