Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

SEBERANG PRAI – Nombor plat kenderaan PPP1 yang menerima lapan bidaan akhirnya milik Lee Chong Hoon yang menawarkan RM260,000.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, selain berjaya memiliki PPP1, abang kepada bekas pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei itu juga berjaya membida PPP6 dengan RM140,000.

Populariti PPP secara keseluruhannya dilaporkan telah mengatasi plat SYG dan ALL sebelum ini apabila berjaya mendatangkan hasil hampir RM7.3 juta untuk Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menariknya, kejayaan Chong Hoon membida dua plat nombor popular iaitu PPP1 dan PPP6 telah mencuri perhatian terutamanya kerana adiknya iaitu Chong Wei menyukai nombor 6.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, beberapa kereta milik Chong Wei sebelum ini juga bernombor 6.

Pada 2010, terdapat netizen berjaya merakamkan gambar Chong Wei bersama sebuah kereta buatan Jepun berwarna perak yang juga mempunyai nombor pendaftaran 6.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa PPP6 adalah dibida oleh Chong Hoon bagi pihak Chong Wei. – MalaysiaGazette