Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes positif baharu Covid-19 terus mencecah jumlah melebihi empat angka dengan yang terbaharu hari ini sebanyak 1,114 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak berkenaan di Malaysia iaitu 46, 209 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah sebanyak 12,131 kes

“Sabah mencatatkan sebanyak 391 kes atau 35.1 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

“Negeri Sembilan pula melaporkan sebanyak 371 kes atau 33.3 peratus daripada keseluruhan kes positif
harian yang sebahagian besarnya adalah daripada Kluster Cergas iaitu
sebanyak 363 kes atau 97.8 peratus.
“Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 217 kes positif pada hari ini. Daripada jumlah ini, sebanyak 145 kes adalah daripada kluster-kluster atau 66.8 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 65 kes atau 5.8 peratus dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster
di penjara dan ia melibatkan Kluster Tembok (45 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes) dan Kluster GK Tawau (satu kes).

Ujarnya, terdapat dua pertambahan kematian bagi kes berkenan dengan jumlah keseluruhan setakat ini iaitu 306 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini kata Dr Noor Hisham, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit
Rawatan Rapi (ICU) di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.- MalaysiaGazette