Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 pada 6 November lalu melakar sejarahnya sendiri.

Ini kerana buat pertama kali kerajaan menyediakan belanjawan terbesar sebanyak RM332.5 bilion untuk membantu rakyat yang sedang tersepit akibat pandemik Covid-19 dan dalam masa yang sama perlu mencari jalan untuk terus merangsang ekonomi Malaysia agar dapat berkembang positif pada tahun depan.

Ikuti sesi temu bual MalaysiaGazette dan beberapa media terpilih bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Wisma Bernama, semalam.

Soalan: Jika dilihat daripada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, ramai Ahli Parlimen membangkitkan pelbagai cadangan antaranya menambah bantuan kepada golongan M40 yang dilihat agak kurang.

Tengku Zafrul: Memanglah golongan B40 ada banyak menerima pelbagai bantuan tunai tetapi untuk golongan M40 juga ada pelbagai bantuan yang telah diberikan.

Jadi, kalau saya boleh bahagikan kepada dua kategori untuk M40 ini.

Pertamanya, golongan yang hilang pekerjaan.

Kedua, golongan yang masih ada pekerjaan.

Bagi kategori yang hilang pekerjaan, saya telah menyentuh mengenai sembilan bulan Sistem Insurans Pekerja (EIS) di mana kita telah menaikkan jumlah peruntukan kepada individu yang hilang pekerjaan dan menambah tempoh dari enam bulan kepada sembilan bulan. Ini adalah salah satu elaun mencari kerja (search allowance).

Kita juga boleh melihat kepada upskilling dan reskilling di mana peruntukan sebanyak RM1 bilion telah diberikan untuk tujuan berkenaan.

Ini semua untuk golongan M40 kerana apabila dilatih semula, ada jaminan untuk mereka mendapat pekerjaan.

Kita membuat latihan ini bersama-sama pihak majikan supaya mereka dapat pekerjaan apabila tamat latihan reskilling dan upskilling ini.

Selain itu, ada banyak pengecualian cukai sampailah RM20,000.

Bagi moratorium pula, sudah ada sedikit pengumuman dan semasa Belanjawan 2021 pula, kita mengumumkan di mana golongan M40 boleh membuat permintaan untuk menstruktur atau mendapat lanjutan moratorium sekiranya telah hilang pekerjaan atau dipotong gaji.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada sidang media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2020

Semasa ucapan Belanjawan juga, saya telah mengumumkan prosedur pemprosesan permohonan juga dimudahkan lagi di mana golongan M40 ini hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri menunjukkan bukti-bukti yang mereka telah hilang pekerjaan atau dipotong gaji.

Ini akan memudahkan lagi proses.

Selain itu juga, lebih 90 peratus daripada permohonan golongan M40 telah pun diluluskan setakat ini.

Dalam pada itu, golongan yang hilang pekerjaan ini masih boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2 KWSP di mana mereka boleh mengeluarkan RM500 di bawah program i-Lestari dan ada macam-macam lagi seperti insentif dimasukkan ke hospital di bawah MySalam.

Bagi golongan M40 yang masih ada pekerjaan, kita telah menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu peratus. Ini untuk yang berpendapatan RM50,001-RM70,000.

Caruman KWSP juga telah dikurangkan daripada 11 peratus kepada 9 peratus. Ini membolehkan kira-kira RM9.3 bilion masuk ke dalam ekonomi.

Saya sudah sebut tentang pengecualian cukai dalam bidang pendidikan, sukan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.

Daripada analisis-analisis yang telah dibuat, kita boleh lihat golongan yang banyak menerima pengecualian cukai ini adalah M40.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian bagi kemudahan akses ke Akaun 1 ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar, pada 18 Nov ini.- Gambar hiasan.

Selain itu, golongan M40 juga boleh memanfaatkan pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk insurans dan takaful.

Saya rasa apa yang penting adalah kita perlu tengok kepada penyelesaian jangka panjang untuk golongan M40.

Di mana jika mereka hilang pekerjaan, mereka perlu melihat kepada peluang pekerjaan lain pula. Di sini kerajaan telah memberi jaminan untuk memberi fokus kepada perkara ini dan sebanyak 500,000 pekerjaan akan dijamin oleh kerajaan melalui pelbagai program yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Soalan: Sebelum ini caruman KWSP telah diturunkan kepada tujuh peratus tetapi dalam Belanjawan 2021 ianya telah dinaikkan kepada 9 peratus.

Jika kerajaan keberatan untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1, bolehkah caruman diturunkan kepada tujuh peratus?

Tengku Zafrul: Sebenarnya penurunan caruman daripada 11 peratus kepada sembilan peratus ini dapat memberi kecairan kepada ekonomi negara sebanyak RM9.3 bilion.

Ini adalah jumlah yang besar dan saya telah sebut tentang i-Lestari. Program ini membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan iaitu sehingga April 2021.

Seramai 4.7 juta telah mengeluarkan duit Akaun 2 dengan jumlah hampir RM12 bilion setakat ini.

RM12 bilion campur RM9.3 bilion sudah RM21.3 bilion.

Mengenai Akaun 1, memang pada mulanya kita keberatan kerana kita risau tentang simpanan masa hadapan mereka.

Tetapi dalam masa yang sama, kita dengar keresahan rakyat dan dalam ucapan Belanjawan 2021 saya, saya telah mengumumkan bagi pihak KWSP yang kita akan membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1 tetapi dengan kaedah bersasar.

Kita masih berunding dan saya masih lagi mendengar keluh-kesah dan rayuan daripada rakyat mengenai pengeluaran Akaun 1 ini. Jadi saya masih lagi dalam proses perbincangan KWSP untuk memperluaskan.

Setakat ini matlamat ketika saya berucap itu, seramai 600,000 pencarum dapat mengeluarkan wang mereka sebanyak RM500 daripada Akaun 1 selama 12 bulan. Jadi total yang boleh dikeluarkan adalah RM6,000.

Campur dengan Akaun 2 (program i-Lestari) RM6,000 sudah ada RM12,000.

Sekarang, kita tunggulah. Dalam beberapa hari lagi, insya Allah saya dengan KWSP akan membuat pengumuman.

Insyaallah, kita boleh luaskan lagi jumlah berbanding daripada 600,000 pencarum itu tadi.

Kita juga akan membuat penerangan lebih terperinci mengapa kerajaan berbuat demikian.

Soalan 3: Terdapat dakwaan yang mengatakan peruntukan kepada komuniti Cina telah dikurangkan sebanyak 77 peratus dalam Belanjawan 2021. Apa pendapat Datuk Seri?

Tengku Zafrul: Sekiranya ada dakwaan mengatakan peruntukan untuk komuniti Cina dalam Belanjawan 2021 telah dikurangkan kepada 77 peratus, ini bermakna peruntukan untuk kaum Cina dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM444.5 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada sidang media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2020

Ini bermakna Belanjawan 2021 hanya menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada komuniti Cina dan ini saya rasa dakwaan ini adalah melampau.

Hakikatnya, Belanjawan 2021 memperuntukkan RM177 juta kepada mikro-kredit, kampung baharu dan lain-lain.

Saya pecahkan lagi jumlahnya iaitu mikro-kredit menerima RM90 juta; kampung baharu menerima RM84 juta dan lain-lain menerima RM3 juta.

Yang keduanya, dalam Belanjawan 2020, rujukan untuk komuniti Cina hanya menokok sebanyak RM217 juta

Tetapi jika dilihat pada pengumuman Belanjawan 2021, jumlah peruntukan yang diberikan kepada PKS Cina dan Kampung Baru Cina adalah sama dengan tahun lepas.

Bagi membuat perbandingan setara, perbezaan dalam ucapan Belanjawan 2021 hanya melibatkan peruntukan untuk penyelenggaraan sekolah (jenis kebangsaan Cina) yang tidak dimasukkan dalam ucapan tahun ini.

Peruntukan penyelenggaraan sekolah tidak diklasifikasikan mengikut jenis sekolah dalam Belanjawan 2021.

Saya akan minta Menteri Pendidikan untuk memberi penjelasan berhubung pembahagian peruntukan tersebut.

Yang ketiga, apa yang saya paling keliru dengan kenyataan mengenai peruntukan sebanyak RM44.5 juta kepada UTAR pada 2019.

Tetapi anda semua tahu bahawa dalam Belanjawan 2020, peruntukan kepada UTAR tidak disediakan.

Kerajaan ini (Perikatan Nasional) yang meletakkan semula peruntukan kepada Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam Belanjawan 2021.

Keempat, kerajaan ini membuktikan ia sangat properniagaan dan tiada apa yang perlu dimalukan kerana kita tahu yang ekonomi dipacu oleh semua kaum termasuk Melayu dan Cina.

Sudah tentu 80 peratus daripada PKS adalah Cina atau bukan bumiputera.

Jadi, apakah anda mahu beritahu saya yang subsidi sebanyak RM12 bilion hanya memberi manfaat kepada bumiputera sahaja?

Peruntukan RM10 bilion Dana Bantuan Khas hanya dimanfaatkan oleh bumiputera?

Jadi, saya rasa kita tidak boleh menjadikan ia perkauman.

Saya rasa kita perlu melihat secara objektif yang mana sumbangan dan sokongan yang diberi kerajaan adalah untuk golongan yang memerlukan.

Ia adalah bersandarkan kepada keperluan dan merit,

Tetapi sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui orang Melayu memang ketinggalan.

Jadi, anda akan lihat golongan B40 ini memerlukan bantuan. Jika anda melihat kepada jumlah pengangguran, siapa mereka ini?

Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini dari sudut perkauman. Saya fikir, apa yang penting dalam Belanjawan ini ini adalah ianya untuk rakyat dan untuk merangsang semula ekonomi.

Kita perlu sama-sama berganding bahu untuk mencapainya.

Soalan: Ada sesetengah pihak malah Ketua Pembangkang sendiri mengatakan unjuran KDNK yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah tidak realistik. Apa pandangan YB dalam perkara ini?

Tengku Zafrul: Kerajaan mengunjurkan KDNK akan naik sebanyak 6.5 peratus-7.5 peratus. Unjuran ini adalah berdasarkan anggaran kita sendiri untuk pertumbuhan 2021.

Melalui perbelanjaan pembangunan, Belanjawan 2021 akan memberi kesan positif sebanyak 4 peratus kepada KDNK dan jika tengok unjuran kerajaan, kita tidak bersendirian.

Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan sempena Belanjawan 2021 di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2020.

Lihat unjuran yang dibuat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, S&P, Moody’s dan Asian Development Bank (ADB), semua ini adalah agensi-agensi antarabangsa dan mereka memberi unjuran yang serupa.

Hakikatnya, kalau kita lihat unjuran IMF lebih daripada (unjuran) yang dibuat oleh Malaysia.

Ini semua adalah jangkaan kita berdasarkan beberapa andaian iaitu yang pertama adalah kesediaan vaksin.

Kita jangka vaksin Covid-19 akan dikomersialkan lebih cepat.

Insyaallah, enam bulan pertama tahun depan ekonomi global akan pulih dan sebagai ekonomi terbuka, Malaysia akan menerima kesan positif apabila ekonomi global berkembang.

Kedua, kita mesti ingat, kita bermula dengan asas yang lebih rendah iaitu negatif (penguncupan ekonomi). Jadi unjurannya akan menjadi tinggi.

Lebih rendah atau negatif prestasi pada tahun ini maka lebih tinggi prestasi pada tahun depan kerana asas yang lebih rendah.

Tetapi kita tidak mengatakan ekonomi Malaysia akan mendapat semula trajektori sebelum ini.

Ini hanya menunjukkan pemulihan, yang penting ada pemulihan positif.

Jadi unjuran itu seperti mana tahu, kita semakan dan unjuran setiap tiga bulan sekali.

Mungkin ianya melebihi daripada 7.5 peratus kalau ekonomi berkembang lebih laju atau lebih kurang.

Matawang negara Ringgit Malaysia (RM). foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2020

Tetapi yang pentingnya, itulah unjuran kita pada hari ini. saya tidak ada bola kristal jadi saya tidak tahu bila ekonomi akan pulih semula.

Sekarang kita dalam tempoh PKPB, sudah tentu ekonomi kita terkesan sedikit terutamanya dalam sektor peruncitan dan sektor pelancongan tetapi eksport, pembuatan dan sebagainya masih lagi berfungsi.

Jadi ekonomi kita tidak akan terkesan seperti suku kedua dan suku ketiga.

Insyaallah, suku keempat adalah lebih baik daripada suku ketiga. Jadi kita akan lihat ekonomi kita akan terus berkembang, jadi saya rasa apa yang penting kita fokus untuk menangani covid-19 kerana lebih cepat kita menangani wabak ini, lebih cepat kita dapat lihat pertumbuhan ekonomi

Soalan: Apakah pelan B kerajaan sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu tidak diluluskan?

Tengku Zafrul: Belanjawan 2021 ini adalah untuk meluluskan belanjawan perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan pembangunan.

Dalam perbelanjaan pengurusan ada peruntukan-peruntukan kepada barisan hadapan, ada bayaran gaji dan sebagainya.

Saya optimistik. Saya percaya belanjawan ini fokusnya adalah kepada rakyat, perniagaan dan untuk menjana semula ekonomi kita.

Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, tidak ada sebab mengapa kita harus menolak bajet ini.

Dari segi ekonominya, (sekiranya belanjawan ini ditolak) kita tidak dapat membayar banyak perbelanjaan kerajaan seperti petugas barisan hadapan, membayar Bantuan Prihatin Rakyat dan sebagainya.

Dari segi perundangan, biar pakar yang menjawabnya.

Soalan: Hutang kerajaan pada ketika ini dikatakan terlalu tinggi. Bagaimana perbandingan dengan negara-negara lain dan kesan kepada penarafan oleh agensi penarafan.

Tengku Zafrul: Saya telah bercakap sedikit mengenai hutang negara. Jika kita dengar perbahasan empat hari lepas ada yang mengatakan ianya terlalu rendah. Ada yang kata belanjawan ini tinggi dan ada yang kata rendah. Memang ada banyak perbezaan pendapat mengenai hal ini.

Jadi kita sebagai kerajaan, apa yang penting adalah kita tidak berkompromi untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi, itu perkara pertama.

Dari segi hutang pula, kita boleh lihat kadar defisit negara. Buat masa ini saya nampak defisit akan mencecah 6 peratus pada 2020. Ini adalah lebih tinggi daripada unjuran awal semasa Belanjawan 2020 dibentangkan oleh mantan Menteri Kewangan iaitu kadar defisit adalah 3.2 peratus.

Malah kalau dilihat defisit 2019 adalah 3.4 peratus sahaja.

Jadi, kita telah menaikkan jumlah hutang kita sampailah defisit kita untuk tahun ini adalah 6 peratus.

Jumlah hutang meningkat manakala KDNK pun menyusut pada tahun ini tetapi kita masih lagi berkemampuan kerana negara mempunyai kecairan wang yang tinggi.

Semua suntikan fiskal yang telah dibuat pada tahun ini melalui Pakej Prihatin, Penjana, PKS Tambahan dan Kita Prihatin yang berjumlah RM55 bilion adalah menerusi pinjaman tempatan.

Kita tidak bergantung kepada mata wang asing.

Kita ada peluang ini (mendapatkan pinjaman tempatan) kerana kadar faedah amat rendah. OPR sekarang adalah 1.75 peratus. Ini menunjukkan kecairan yang tinggi.

Negara-negara lain yang tidak mempunyai kecairan seperti ini terpaksa meminjam dari negara-negara luar. Malaysia tidak perlu.

Belanjawan 2021 ini mempunyai RM322.5 bilion, ini adalah satu belanjawan paling besar dalam sejarah.

Saya tidak begitu bimbang asalkan defisit kita masih dalam lingkungan yang telah ditetapkan.

Nisbah hutang yang diluluskan Parlimen pula adalah 60 peratus dan saya rasa kita tidak akan mencecah siling tersebut.

Tetapi jika terpaksa mencecah sekali pun, kita masih ada ruang.

Setiap 1 peratus defisit adalah bersamaan dengan RM15 bilion pinjaman atau perbelanjaan. Jadi lima peratus itu banyak jumlahnya.

Ia bersamaan dengan perbelanjaan sebanyak RM75 bilion ke dalam ekonomi.

Kita perlu ingat bahawa setiap RM1 yang kita belanja dalam perbelanjaan pembangunan haruslah menjana lebih daripada jumlah tersebut.

Itu yang kita mahukan. Kita mahu berbelanja untuk menghidupkan semula ekonomi. Apa yang penting adalah impak gandaan.

Menyentuh mengenai penarafan kredit, saya bersama rakan-rakan di Kementerian Kewangan telah bertemu secara maya dengan Moody’s, Fitch dan S&P.

Saya telah memberi taklimat kepada mereka mengenai situasi ekonomi dan kewangan negara. Saya berpendapat mereka faham isu yang kita hadapi sekarang. Saya agak optimistik dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan mereka. Kita juga telah berbincang dengan mendalam. Apa yang penting, saya rasa kita berada di landasan tepat.

Suasana di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020

Soalan: Industri pelancongan menyumbang kepada ekonomi tetapi semasa pandemik ini banyak agensi pelancongan yang terjejas. Apakah kerajaan boleh membantu mereka.

Tengku Zafrul: Kajian yang telah dibuat menunjukkan sektor pelancongan ini terkesan sejak bulan Februari iaitu sejak virus Covid-19 ini mula menular.

Kita lihat hasil kajian dibuat pula menunjukkan sektor pertama yang terjejas akan menjadi sektor terakhir yang akan pulih.

Masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita dapat lihat sektor pelancongan ini bertambah baik di kawasan-kawasan peranginan seperti Langkawi, Pulau Pinang, Desaru, Johor dan sebagainya tetapi di hotel bandar-bandar masih lagi terkesan.

Jadi, sebagai kerajaan yang prihatin, kita telah membuat beberapa inisiatif kerana sektor ini adalah sektor yang besar. Ia mempunyai hubungan dengan pelbagai sektor lain seperti peruncitan, penerbangan, perhotelan, perkhidmatan dan sebagainya.

Kita telah membuat peruntukan untuk membantu sektor pelancongan seperti peruntukan sebanyak RM1 bilion di bawah Penjana manakala dalam Belanjawan 2021 pula kita umumkan peruntukan sebanyak RM200 juta.

Kita mahu memperkasakan industri pelancongan tempatan ini. Banyak wang yang telah diperuntukkan untuk menaik taraf kawasan-kawasan pelancongan tempatan.

Kita mahu melihat kesan berganda daripada industri pelancongan ini kerana ia sangat penting.

Insyaallah selepas PKPB tamat kita mahu memajukan sektor pelancongan tempatan dengan lebih cepat dan pesat.

Inisiatif-inisiatif tersebut akan diumumkan kelak kerana jika diumumkan sekarang pun, orang tidak boleh keluar.

Waktu untuk membuat pengumuman juga adalah penting untuk diambil kira.

Soalan: Kadar pekerjaan menurun jadi apa perancangan kerajaan untuk golongan graduan muda?

Gambar hiasan

Tengku Zafrul: Setiap tahun lebih kurang 300,000 graduan akan masuk ke dalam pasaran kerja. Di sini kita membuat inisitif untuk pengambilan pekerja terutamanya kepada graduan muda dan M40.

Daripada segi definisi, mereka adalah golongan M40 kerana lulusan pengajian tinggi.

(Contohnya) kalau gaji sehingga RM10,000, kerajaan akan memberi subsidi pengambilan pekerja sehingga RM4,000 iaitu kira-kira 40 peratus daripada jumlah gaji.

Insentif ini akan berlangsung untuk tempoh enam bulan.

Masih banyak lagi inisiatif lain seperti upskilling dan reskilling dan sebagainya.

Apa yang penting untuk dilihat adalah kadar pengangguran di Malaysia sebenarnya masih tinggi. Saya tidak cakap apabila ia bertambah baik bermakna ia sudah bagus.

Tetapi anda juga perlu ingat, pada kadar 4.6 peratus (sekarang) dan jika dibandingkan  dalam tempoh 15 tahun lepas, kadar pengangguran di Malaysia adalah kira-kira 3.3 peratus setiap tahun.

Jadi peningkatannya cuma 1.3 peratus iaitu bertambah daripada 3.3 peratus kepada 4.6 peratus. Sebelum Covid-19 pun, memang sekitar 3.3 peratus hingga 3.5 peratus.

Jadi anda kena juga melihat kepada perbezaan tersebut yang mana jumlah peningkatannya adalah kecil.

Reaksi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2020

Soalan: PKS mendakwa inisiatif dalam Belanjawan 2021 seperti tidak membantu mereka.

Tengku Zafrul: Kalau kita lihat, kerajaan cuba memberi bantuan kepada seramai mungkin rakyat termasuk PKS.

Apa yang paling penting kepada PKS ketika ini adalah kecairan dan disebabkan itu kita bekerjasama dengan bank-bank untuk memastikan PKS mendapat kecairan yang cukup.

Malah Bank Negara semalam juga ada menyebut mengenai inisiatif baharu untuk PKS. Butirannya belum ada tetapi pengumuman telah dibuat semalam.

Selain itu, Program Subsidi Upah juga telah memberi bantuan kepada 330,000 syarikat PKS dengan memberi peluang kepada mereka untuk mengekalkan pekerjaan kepada 2.6 juta pekerja.

Ini semua adalah manfaat kepada PKS. Kosnya setakat ini adalah RM2 bilion dan ini bukan satu kos yang rendah.

Dalam Belanjawan 2021, program Subsidi Upah ini dilanjutkan pula kepada sektor-sektor yang terkesan seperti pelancongan dan peruncitan.

Jika anda melihat ini semua, kerajaan sebenarnya membantu PKS. Malah hakikatnya, jika anda tanya kepada saya, sokongan kepada PKS adalah yang terbesar berbanding sokongan kepada sektor-sektor lain.

Saya tidak mengatakan ini yang terbaik tetapi kita sentiasa akan memberi penambahbaikan.

Kerajaan sentiasa mendengar seperti sebelum ini pun, kita sentiasa mendengar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada sidang media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2020

Soalan: Kerajaan memperuntukan RM1 bilion kepada KKM untuk menangani Covid-19 pada tahun depan. Apakah jumlah tersebut mencukupi kerana kita lihat perbelanjaan membendung Covid-19 melebihi daripada itu.

Tengku Zafrul: RM1 bilion itu adalah peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Covid-19 pada 2021 di mana RM31 bilion.

Dalam Kumpulan Wang Amanah Covid-19, kita boleh menaikkan peruntukan tersebut. Buat masa ini unjurannya adalah RM1 bilion.

Dalam ucapan saya, kita akan meningkatkan peruntukan dalam Kumpulan Wang Amanah Covid-19 sebanyak RM20 bilion. Sebelum ini kelulusan yang diterima oleh kerajaan adalah RM45 bilion.

Saya hendak naikkan lagi sebanyak RM20 bilion yang mana RM10 bilion untuk pakej Prihatin dan RM10 bilion lagi untuk Covid-19 sendiri terutamanya untuk pembelian vaksin.

Dalam ucapan saya juga, saya ada sebut kerajaan komited untuk membeli vaksin Covid-19 dan membuat peruntukan untuk usaha membendung Covid-19.

Insyaallah, jika belanjawan ini diluluskan, kita telah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan KKM peruntukan RM3 bilion yang diperlukan untuk mereka beli vaksin kepada kira-kira 70 peratus populasi Malaysia.

 

– MalaysiaGazette