Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,103 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid- 19 di negara ini sebanyak 48,520 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 12,601 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 544 kes positif atau 49.3 peratus hari ini.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 484 kes atau 89.0 peratus adalah daripada kluster-kluster di mana kluster yang tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Damanlela di Wilayah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 385 kes.

“Sabah pula mencatatkan sebanyak 288 kes atau 26.1 peratus daripada keseluruhan kes positif.

“Penurunan kes positif Covid-19 di negeri itu menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang telah dijalankan secara agresif sejak berlaku peningkatan kes di sana.

“Perak pula mencatatkan 116 kes atau 10.5 peratus daripada keseluruhan kes positif iaitu peningkatan sebanyak 5.5 kali ganda daripada 21 kes positif semalam.

“Kebanyakan kes positif di Perak adalah daripada Kluster Tembok iaitu sebanyak 111 kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, sebanyak 139 kes atau 12.6 peratus yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara.

Menurut beliau, ia melibatkan Kluster Tembok sebanyak 111 kes, Kluster Matambai (15 kes), Kluster Penjara Sandakan (4 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes), Kluster Rumah Merah (2 kes), dan Kluster Benteng LD ada satu kes.

“Daripada 1,103 kes baharu, Selangor melaporkan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kes tersebut melibatkan seorang warganegara yang tiba dari negara Arab Saudi,” katanya.

Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 39 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kata beliau, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre Kebangsaan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes kematian virus itu di Malaysia adalah sebanyak 313 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bilangan kes pulih Covid-19 pula adalah sebanyak 821 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya Covid-19 adalah 35,606 kes atau 73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette